TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Pemain Palestin cetus kontroversi, buat isyarat 'bau busuk' depan kapten India

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 NOVEMBER – Suasana tegang di Stadium Kuala Lumpur bertukar menjadi polemik diplomatik bola sepak apabila aksi kelayakan Kumpulan E Piala Asia B-17 AFC dicemari kontroversi gerak isyarat berunsur perkauman dan layangan kad merah, semalam.

Pertembungan sengit di ibu negara itu menyaksikan skuad remaja India melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Palestin, namun tumpuan media sekelip mata beralih kepada insiden kontroversi membabitkan kapten India, Dallalmuon Gangte dan pemain tengah Palestin, Taha Soueidan, sejurus sebelum wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Ketegangan bermula apabila rakaman visual memperlihatkan Soueidan (jersi No. 19) bertindak mengibas hidungnya menggunakan tangan ketika menghampiri Gangte selepas perlawanan terpaksa dihentikan seketika akibat hujan lebat. 

Tindakan itu segera mencetuskan pelbagai tafsiran negatif daripada penonton dan penganalisis bola sepak yang menyifatkannya sebagai sindiran stereotaip perkauman. 

Pengadil perlawanan, Ko Minkuk, bertindak pantas memanggil kedua-dua pemain terbabit untuk memberikan amaran keras.

Suasana tegang itu sebenarnya sudah memuncak lebih awal apabila pemain tengah Palestin, Mohammed Jamhour, dilayangkan kad merah langsung susulan tindakan agresif menendang serta memijak lengan pemain sayap India, Raj Singh Wahengbam, ketika perebutan bola. 

Jurulatih skuad Asia Barat itu, Yousef Sharbaji, kemudiannya tampil memohon maaf secara terbuka kepada pihak lawan atas insiden disiplin tersebut.

"Kami memohon maaf kepada pemain berkenaan atas apa yang berlaku dari pihak kami. Tiada alasan untuk melakukan perkara sedemikian," ujar Sharbaji ketika ditemui penyiar tempatan pascaperlawanan.

Sementara itu, kem Palestin menafikan sekeras-kerasnya sebarang niat diskriminasi di sebalik insiden berkenaan. 

Pengurus pasukan, Mohammed Joma Al-Aruri, menjelaskan bahawa pemain mudanya itu hanya cuba menarik nafas selepas penat beraksi dalam cuaca buruk, namun mengakui tindakan tersebut boleh disalahertikan. 

Beliau memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan membawa Soueidan sendiri ke hotel penginapan skuad muda India bagi memohon maaf.

"Selepas perlawanan, saya membawa pemain itu bersama saya ke hotel pasukan untuk memohon maaf serta menjelaskan kekeliruan kepada pemain India terbabit. Pemain itu (Gangte) menerimanya dengan baik dan bersalaman selepas itu," jelas Al-Aruri.

Tambahnya lagi, beliau turut berusaha meredakan ketegangan dengan mengajak kedua-dua pemain merakamkan gambar kenang-kenangan bagi membuktikan hubungan baik kedua-dua negara, namun tawaran itu ditolak oleh barisan kejurulatihan lawan.

Dalam pada itu, kemelut berkenaan dijangka berpanjangan apabila Persatuan Bola Sepak India (AIFF) dilaporkan sedang meneliti laporan rasmi pengurus pasukan sebelum menghantar bantahan keras kepada pihak komisioner perlawanan, Ruselle Zapanta, dalam masa terdekat.

+ - reset