TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Pemain Sepanyol meninggal dunia lepas dirempuh penjaga gol lawan

By
|
Kongsi
image

MADRID 4 NOVEMBER - Penyerang Tenerife, Jesus de Miguel meninggal dunia pada usia 30 tahun, sehari selepas mengalami serangan jantung susulan perlanggaran ketika perlawanan, menurut kenyataan kelab divisyen dua Sepanyol itu semalam.

Kelab berkenaan mengesahkan berita duka itu menerusi satu kenyataan yang menyifatkan pemergian De Miguel sebagai kehilangan cukup menyedihkan buat seluruh warga pasukan.

"Dengan hati yang hancur, perasaan sebak dan masih sukar mempercayai perkara ini benar-benar berlaku, CD Tenerife mengumumkan pemergian Jesus de Miguel Alameda.

"Tiada kata-kata yang mampu mengubati kesedihan ini dan tiada apa yang dapat menghilangkan perasaan pilu yang sedang kami rasai," menurut kenyataan kelab itu.

Perlawanan menentang FC Andorra sebelum itu dihentikan tujuh minit selepas masa kecederaan bermula apabila De Miguel rebah susulan perlanggaran dengan penjaga gol pasukan pelawat, Jesus Owono.

Owono yang keluar dari kawasan penalti untuk menghalang bola jauh, secara tidak sengaja terkena dada penyerang itu menggunakan lututnya.

De Miguel terbaring tidak bergerak di atas padang ketika pemain kedua-dua pasukan segera memberikan isyarat meminta bantuan perubatan.

Owono kemudian dilayangkan kad merah terus.

Pasukan perubatan memberikan rawatan kepada De Miguel di atas padang selama lebih lima minit sebelum dia dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

Berita pemergian pemain itu turut mengundang ucapan takziah daripada beberapa kelab bola sepak utama Sepanyol termasuk Barcelona dan Real Madrid.

"Ingatan dan sokongan kami bersama keluarga, rakan-rakan serta insan tersayangnya ketika melalui detik sukar ini," menurut kenyataan Barcelona.

Real Madrid turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, rakan sepasukan, kelab dan semua insan yang rapat dengan De Miguel.

+ - reset