TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Anak sulung 20 tahun pikul tanggungjawab jaga ibu, 7 beradik raih perhatian ramai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 NOVEMBER - Ketika kebanyakan anak muda seusianya masih menumpukan perhatian terhadap pengajian tinggi atau merancang kerjaya awal, seorang remaja berusia 20 tahun terpaksa menggalas amanah berat sebagai tonggak utama sebuah keluarga besar yang dihimpit masalah kewangan kronik.

Anak sulung daripada lapan beradik itu menjadi satu-satunya punca pendapatan selepas ibu bapanya berpisah lebih sedekad lalu, manakala ibunya pula tidak dapat bekerja akibat masalah kesihatan pada bahagian kaki.

Keperitan hidup keluarga berkenaan semakin meruncing apabila mereka berdepan tunggakan sekitar RM10,000 serta ancaman diusir dari kediaman yang ditumpang dalam tempoh tiga bulan, selain bekalan elektrik pernah terputus beberapa kali sehingga memaksa mereka hidup dalam kegelapan.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya hasratkan untuk menyambung pelajaran tetapi apabila melihat tanggungan keluarga, saya terpaksa keluar mencari rezeki. Apa sahaja keperluan mereka saya utamakan dahulu, walaupun untuk membeli sehelai baju buat diri sendiri pun saya perlu berfikir panjang,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Pemuda tersebut turut memaklumkan bahawa motosikal miliknya telah ditarik, sekali gus menyukarkan urusan harian termasuk menghantar adik-adiknya ke sekolah, selain ketiadaan simpanan peribadi kerana seluruh pendapatan disalurkan bagi memenuhi keperluan asas serta barangan dapur keluarga.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pempengaruh media sosial, Youngryyannn8, tampil menyalurkan bantuan awal berjumlah RM1,400 bagi meringankan beban pemuda terbabit untuk menebus semula motosikalnya dan melangsaikan sebahagian komitmen tertunggak.

Menurut pempengaruh berkenaan, pihaknya turut merancang untuk membimbing pemuda itu memulakan perniagaan sendiri bagi menjana pendapatan lebih mampan dengan sasaran menyelesaikan hutang keluarga dalam tempoh 100 hari.

+ - reset