TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Rakyat penat bayar bil, warga asing senang curi air di Perak'

By
|
Kongsi
image

SERI ISKANDAR 24 NOVEMBER — Aktiviti penyalahgunaan bekalan utiliti yang didakwa melibatkan warga asing di sekitar Rancangan Perumahan Awam (RPA) Changkat Sodang mengundang gesaan agar agensi berkaitan mengambil tindakan tegas secara serta-merta.

Isu berkenaan menarik perhatian selepas sekumpulan aktivis turun ke lokasi untuk meninjau situasi di premis terbabit, di samping merakam keadaan bekalan air serta pendawaian elektrik yang dipersoalkan.

Berdasarkan rakaman visual yang tular, seorang lelaki dipercayai warga asing dilihat berada di kawasan kediaman berkenaan sambil disoal siasat mengenai sumber air yang mengalir serta kedudukan meter yang didakwa tidak jelas status pembayarannya.

Dalam perbualan yang dirakam, beberapa individu turut menunjuk ke arah aliran air dan pemasangan berhampiran dinding luar rumah sambil membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pembaziran sumber air serta beban kos utiliti yang perlu ditanggung pengguna sah.

Mengulas lanjut mengenai situasi tersebut, pihak aktivis menyuarakan kebimbangan bahawa perbuatan mengambil bekalan secara tidak sah bukan sahaja merugikan penyedia perkhidmatan, malah memberi kesan tidak adil kepada masyarakat setempat yang melunaskan bil mengikut jadual.

"Rakyat bayar bil tinggi, pencuri air dan elektrik hidup senang. Di RPA Changkat Sodang, Seri Iskandar, aktiviti curi utiliti berleluasa. Kami minta pihak berkuasa seperti TNB dan Air Perak turun padang segera untuk membuat pemeriksaan dan tindakan. Jangan biarkan orang jujur menanggung kerugian," katanya.

Sehubungan itu, kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP) serta pihak berkuasa tempatan diharapkan dapat mempergiat operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di kawasan perumahan awam bagi membendung ketirisan utiliti serta memastikan keadilan kepada semua pengguna berdaftar.

+ - reset