TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Aktivis jumpa saksi 'roro' pukul remaja tempatan, kesal sikap tak campur tangan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 NOVEMBER - Seorang aktivis masyarakat hari ini tampil menemui individu yang didakwa menjadi saksi dalam insiden serangan membabitkan seorang remaja tempatan berusia 15 tahun di Pangsapuri Sri Murni Fasa 2, Selayang, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut.

Dalam pertemuan yang turut dirakamkan menerusi sebuah video, aktivis berkenaan, Abe Surplus, menyoal lelaki itu mengenai kehadirannya di lokasi insiden bersama dua individu lain serta hubungannya dengan pihak yang disyaki memukul mangsa berbangsa Melayu itu.

Ketika sesi soal jawab berlangsung, saksi tersebut mengakui wajahnya kelihatan dalam rakaman tular sebelum ini sambil mendakwa dirinya sedang menuju ke tempat sembahyang serta tidak mengetahui permasalahan sebenar yang tercetus antara pihak terlibat.

Bagaimanapun, penjelasan ringkas lelaki itu mengundang rasa kesal aktivis berkenaan yang mempersoalkan sikap berdiam diri meskipun melihat tindakan kekerasan berlaku di hadapan mata.

"Saya mana tahu dia apa masalah, saya pergi sembahyang," kata saksi terbabit ketika cuba menerangkan keadaannya semasa kejadian berlaku.

Menyuarakan kekecewaannya terhadap sikap acuh tidak acuh yang ditunjukkan, Abe Surplus menegaskan bahawa tanggungjawab moral sebagai sesama insan wajar mengatasi alasan tidak mahu mencampuri urusan orang lain, apatah lagi apabila melibatkan keselamatan seorang kanak-kanak atau remaja.

"Kalau orang pukul anak awak, awak tengok saja. Sikap bila kata tidak tahu dan tidak campur ini menyedihkan, padahal yang melakukan kekerasan itu adalah sama-sama komuniti mereka, tidakkah timbul rasa tanggungjawab untuk menghentikan perbuatan tersebut?" ujar beliau.

Rakaman pertemuan tersebut kemudian dimuat naik ke media sosial dan menarik perhatian ramai warganet yang rata-rata membincangkan aspek keselamatan komuniti setempat serta keperluan tindakan lanjut pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan.

+ - reset