TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lagi kes langgar lampu merah, rider maut dirempuh van di Senawang

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 4 Mei– Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah van di Jalan Persiaran Senawang 1, berhampiran Persimpangan Lampu Isyarat Matahari Height menghala ke Paroi, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van Toyota Hiace yang dipandu lelaki berumur 44 tahun gagal mematuhi lampu isyarat merah dan melanggar mangsa yang datang dari arah kiri.

Van berkenaan ketika itu sedang dalam perjalanan dari Senawang menuju ke Bahau bersama seorang penumpang wanita berusia 20 tahun.

“Akibat kemalangan ini, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang van tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut.

Lokasi kejadian itu sebelum ini turut mencatat kemalangan tragis yang meragut nyawa tiga remaja dalam insiden membabitkan kereta Honda Jazz pada 6 Mac lalu.


+ - reset