TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Enam lelaki ditahan, rakan maut terkena tembakan ketika memburu di Rompin

By
|
Kongsi
image

 

KUANTAN 6 Mei - Aktiviti memburu di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin bertukar tragedi apabila seorang lelaki berusia 62 tahun maut selepas terkena tembakan daripada senapang buatan sendiri, kelmarin.

Susulan kejadian itu, polis menahan enam lelaki berusia antara 35 hingga 67 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya turut merampas lima laras senapang patah buatan sendiri dan satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino, bersama 25 butir peluru penabur.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Yahaya, kejadian dilaporkan oleh seorang lelaki berusia 54 tahun yang mendakwa senapang patah buatan sendiri meletup dan menyebabkan peluru mengenai jari kelingking mangsa sebelum menembusi sisi dada kanan.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, dengan punca kematian dikenal pasti sebagai “cedera akibat tembakan di dada.”

"Hasil siasatan lanjut, enam lelaki ditahan dan lima laras senapang patah buatan sendiri, satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino serta 25 butir peluru penabur dirampas kerana terbabit dengan aktiviti pemburuan haram," katanya.

Tambah beliau, polis tidak akan berkompromi terhadap pemilikan senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen yang sah.

"Susulan itu, individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen sah perlu segera menyerahkan kepada polis sebelum tindakan tegas diambil," tegasnya.

+ - reset