TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Podcast 'Yang Bakar Menteri' kembali Sabtu ini, Rafizi janji jawab isu hangat

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 8 Mei 2025 - Selepas hampir lapan bulan menyepi, podcast popular ‘Yang Bakar Menteri’ (YBM) yang dikendalikan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bakal kembali bersiaran hujung minggu ini.

Mengulas mengenai ketiadaan episod baharu sejak September 2024, Rafizi dalam kenyataan di Facebook mengesahkan bahawa YBM akan kembali pada Sabtu ini, jam 9 malam, dan buat julung kalinya, siaran akan berlangsung secara langsung dari lokasi terbuka.

“Program kali ini dibawa keluar dari studio ke Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Seri Kembangan. Ia terbuka kepada orang ramai dan saya akan menjawab segala persoalan serta isu hangat kebelakangan ini,” katanya.

Kali terakhir YBM bersiaran adalah pada 30 September 2024, dengan menampilkan pempengaruh media sosial Lim Sian See sebagai tetamu bagi membincangkan beberapa isu semasa.

Sindiran Netizen: ‘Yang Berhenti Menteri’?

Ketiadaan siaran baharu sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk sindiran netizen yang menyamakan akronim YBM sebagai ‘Yang Berhenti Menteri’ kerana menyangka program itu telah dihentikan terus.

Bagaimanapun, kembalinya program ini dijangka menarik semula perhatian khalayak yang menantikan penjelasan daripada menteri tersebut berkenaan pelbagai isu terkini.

Cabaran Politik: Nurul Izzah & Saifuddin

Dalam perkembangan berasingan, Rafizi kini turut berdepan cabaran untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang pemilihan parti akan datang.

Sumber dalaman parti memaklumkan, sokongan dari sebahagian besar cabang dan negeri kini memihak kepada Nurul Izzah Anwar, yang dikatakan bersedia mencabar kedudukan Rafizi.

Turut disebut sebagai calon berpotensi ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR dan bekas Menteri Dalam Negeri. - Media Telus

+ - reset