TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas dirempuh SUV dalam restoran KFC disahkan meninggal dunia

By
|
Kongsi
image

LUMUT 9 Mei - Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang hilang kawalan dan menerobos masuk ke sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, malam tadi.

Mangsa yang merupakan pelanggan restoran itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung akibat kecederaan parah yang dialami dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, insiden itu turut mengakibatkan tujuh pelanggan lain termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun cedera ringan.

Kejadian berlaku di Kilometer 0.5 Jalan Sitiawan–Lumut berhampiran persimpangan lampu isyarat empat hala apabila SUV jenis Volvo XC90 yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun dari arah Kampung Koh ke Sungai Wangi dipercayai hilang kawalan.

“Pemandu terbabit terbabas ke kanan lalu merempuh masuk ke dalam restoran sebelum melanggar lapan pelanggan yang sedang berada di dalam premis,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu kenderaan tersebut turut mengalami kecederaan ringan dan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian semasa memandu.

Beberapa video tular di media sosial menunjukkan kekecohan di lokasi kejadian yang berhampiran persimpangan Jalan Lumut dan Jalan Haji Mohd Ali, termasuk rakaman mangsa tersepit di bawah kenderaan.

Difahamkan, semua mangsa lain yang cedera berusia antara lima hingga 38 tahun sedang menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman kejadian secara meluas sebagai menghormati perasaan keluarga mangsa. - Media Telus

+ - reset