Berita Berita
Tertolak tombol gear, wanita cemas kereta menggelongsor dalam Sungai Kelantan dari atas feri

KUALA KRAI 9 Mei – Seorang wanita berusia lingkungan 50-an berdepan saat mencemaskan apabila kenderaan yang dinaikinya bersama suami secara tiba-tiba menggelongsor ke dalam Sungai Kelantan dari atas feri di Jeti Pengkalan Feri Pasir Kelang, pagi semalam.
Insiden berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika pasangan suami isteri itu sedang menyeberangi sungai menuju ke Bandar Kuala Krai.
Menurut pekerja feri, Haikal Ridzuan, 25, pasangan tersebut berasal dari Kampung Pasir Kelang dan ketika kejadian, suami wanita itu telah keluar dari kereta untuk membuat pembayaran tambang feri.
“Suaminya mendakwa sudah menarik brek tangan dan meletakkan gear automatik pada kedudukan neutral (N).
"Bagaimanapun, wanita itu dipercayai tertolak tombol gear automatik kereta itu ke posisi drive (D) menyebabkannya bergerak lalu menggelungsur terjunam ke sungai.
"Kebetulan pada ketika itu, hanya kereta pasangan suami isteri berkenaan sahaja yang berada atas feri menyeberangi sungai," katanya.
Tambah Haikal, beberapa penumpang yang berada di atas feri segera membantu membuka pintu kereta untuk menyelamatkan mangsa.
"Wanita itu terjatuh ke sungai, namun berjaya diselamatkan," katanya.
Dalam usaha menyelamatkan kereta tersebut, Haikal segera menggunakan tali feri bagi mengikat kenderaan itu dan mengelakkannya dari dihanyutkan arus atau tenggelam.
"Sebaik situasi selamat, krew feri menarik kereta yang hampir tenggelam menggunakan sebuah pikap.
"Kejadian yang berlaku semalam adalah yang pertama sejak puluhan tahun perkhidmatan feri beroperasi di Pengkalan Feri Pasir Kelang," katanya lagi.
Feri berkenaan, yang dimiliki oleh Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad, memainkan peranan penting kepada sekitar 15,000 penduduk dari enam kampung yang bergantung kepada perkhidmatan itu untuk menyeberangi Sungai Kelantan ke pusat bandar.
Feri berkapasiti enam kenderaan serta penumpang dan motosikal itu menjadi penghubung utama bagi penduduk Kampung Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet, Kampung Bahagia serta Kampung Buyong Darul Hijrah.
Berita berkaitan
May 9, 2025, 10:51 pm
Azam Baki dilantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun
May 9, 2025, 5:54 pm
Polis tahan pelatih gimnasium disyaki ugut wanita mahu simbah asid
May 9, 2025, 3:36 pm
Polis buru suspek sindiket curi kabel digelar 'Kecik'
May 9, 2025, 3:26 pm
Dua beranak nyaris lemas selepas kereta terjunam ke kolam kumbahan
May 9, 2025, 3:19 pm
Kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada Mac 2025, pasaran buruh terus stabil
May 9, 2025, 3:15 pm
Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja
May 9, 2025, 1:24 pm