Berita Berita
Pindah pekerja asing merentasi sektor hanya libatkan sektor formal - Steven Sim

KUALA LUMPUR 9 Mei - Kerajaan menegaskan bahawa dasar membenarkan perpindahan pekerja asing merentasi sektor pekerjaan hanya melibatkan sektor formal, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Beliau berkata, garis panduan berkaitan tempoh minimum bekerja dan kelulusan yang diperlukan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, dasar ini hanya melibatkan sektor formal. Pembantu rumah atau pekerja domestik tidak termasuk kerana mereka berada dalam sektor tidak formal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.
Sektor formal merangkumi pekerjaan yang dikawal selia kerajaan serta menyediakan manfaat seperti keselamatan sosial, perlindungan kesihatan dan caruman persaraan. Antara industri yang terlibat ialah pembuatan, penjagaan kesihatan, pendidikan, perbankan dan perkhidmatan awam.
Steven menambah, semua perpindahan pekerja mesti dilakukan dengan telus dan sah termasuk mendapat persetujuan daripada pekerja, majikan sedia ada dan majikan baharu.
“Sebagai contoh, jika syarikat ditutup atau mengurangkan operasi, pekerja yang masih mempunyai permit sah boleh dipindahkan ke syarikat lain. Ini akan mengurangkan risiko pekerja melarikan diri atau bekerja secara haram,” jelasnya.
Dasar baharu ini juga akan tertakluk kepada kuota kelulusan, dan pihak kementerian akan memastikan perpindahan dilakukan mengikut saluran undang-undang.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kelulusan dasar baharu ini selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-13 antara beliau dan Steven Sim.
Dasar tersebut membenarkan pekerja asing yang berada di negara ini dipindahkan ke majikan dalam sektor berlainan, tertakluk kepada prosedur kawal selia yang ditetapkan. - Media Telus
Berita berkaitan
May 9, 2025, 5:54 pm
Polis tahan pelatih gimnasium disyaki ugut wanita mahu simbah asid
May 9, 2025, 3:36 pm
Polis buru suspek sindiket curi kabel digelar 'Kecik'
May 9, 2025, 3:26 pm
Dua beranak nyaris lemas selepas kereta terjunam ke kolam kumbahan
May 9, 2025, 3:19 pm
Kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada Mac 2025, pasaran buruh terus stabil
May 9, 2025, 3:15 pm
Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja
May 9, 2025, 1:05 pm