TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja

By
|
Kongsi
image

HULU SELANGOR 9 Mei - Perjalanan pulang seorang lelaki selepas menghantar isterinya ke tempat kerja berakhir tragedi apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di Jalan Industri Zuhrah, malam semalam.

Dalam kejadian jam 10.25 malam, mangsa berusia 39 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah selepas motosikal Yamaha 125ZR yang ditunggangnya merempuh bahagian hadapan lori.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata siasatan awal mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun keluar dari simpang kiri dan memasuki laluan motosikal mangsa.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan. - Media Telus

+ - reset