TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Azam Baki dilantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Mei – Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh setahun, berkuat kuasa 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan semula itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan Subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

"Pelantikan semula ini berdasarkan pengalaman, komitmen dan pencapaian beliau sepanjang mengetuai SPRM," katanya dalam kenyataan.

Azam, 62, sebelum ini dilantik memegang jawatan tersebut sebanyak dua kali berturut-turut sejak 2023, manakala pelantikan pertamanya bermula pada 9 Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya.

Beliau merupakan antara nama besar dalam penguatkuasaan undang-undang negara dan memulakan kerjayanya dalam agensi itu sejak 1984 ketika masih dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sepanjang kepimpinannya, Azam menekankan prinsip siasatan yang bebas dan berasaskan bukti serta memperkenalkan pelbagai pembaharuan penting termasuk penubuhan Pasukan Taktikal Khas (ACTS), transformasi digital SPRM, dan pengukuhan undang-undang antirasuah.

Beliau turut memainkan peranan aktif dalam kerjasama antarabangsa seperti APEC dan UNCAC serta mengetuai siasatan terhadap beberapa kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin politik, projek LCS, dan agensi penguat kuasa.

Pelantikan semula ini mengukuhkan lagi komitmen kerajaan terhadap usaha berterusan membanteras rasuah secara menyeluruh dan sistematik.

+ - reset