TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL komited jadikan Kuala Lumpur bandaraya mampan, inklusif

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan komitmennya untuk menjadikan ibu negara sebagai bandar raya yang cerdas, mampan dan inklusif menerusi pelbagai inisiatif strategik yang sedang giat dilaksanakan.

Komitmen itu dinyatakan semasa Smart Housing, Sustainable Property and Innovative Cities Forum 2025 yang berlangsung di Manhattan III Ballroom, Berjaya Times Square Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini.

DBKL diwakili oleh Pengarah Jabatan Infrastruktur, Siti Hanim Abd Rahman, yang menyampaikan ucapan pembukaan mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa masa depan Kuala Lumpur akan dipacu melalui pendekatan pembangunan berteraskan inovasi, kecerdasan data dan keterangkuman sosial seperti digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040).

Antara pelan transformasi yang sedang dilaksanakan merangkumi tindakan iklim, pendigitalan, pembaharuan perumahan, sistem mobiliti pintar serta pemerkasaan komuniti menerusi 15 Program Perdana di bawah DBKL.

Beberapa inisiatif utama turut diketengahkan, termasuk:

  • Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur ke Arah Sifar Sisa 2040
  • Low Carbon Society Blueprint 2030
  • Penggunaan teknologi tenaga bersih, termasuk pemasangan panel solar dan sistem pendinginan berpusat di bangunan DBKL
  • Perluasan perkhidmatan bas elektrik GOKL
  • Kajian pelaksanaan sistem "congestion charging" bagi mengurangkan pelepasan karbon kenderaan persendirian

Bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, Program Perumahan MADANI diperkenalkan selain usaha memulihkan pusat komuniti dan premis niaga kecil yang menyokong ekonomi mikro serta memelihara identiti budaya bandar.

Selaras dengan peranan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah ASEAN 2025, DBKL bersedia menganjurkan program serantau seperti ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) dan Mesyuarat Gabenor & Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC).

DBKL juga memperkukuh tadbir urus kolaboratif melalui penubuhan Jawatankuasa SPEAD, yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk perancang bandar, jurutera, arkitek dan pemaju bagi mempercepat penyampaian perkhidmatan serta memastikan pembangunan yang seimbang dan mampan.

Forum ini menghimpunkan pemimpin bandar, pakar hartanah, penggubal dasar dan pemain industri pelbagai sektor bagi membincangkan masa depan pembangunan bandar secara holistik. - Media Telus

+ - reset