Berita Berita
Usia bas pelajar UPSI sudah 12 tahun, tiada tali pinggang keledar untuk penumpang - Anthony Loke
GEORGETOWN 10 Jun - Bas sewa khas yang terlibat dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Timur-Barat hingga meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan tidak dilengkapi tali pinggang keledar untuk penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata bas berkenaan yang dibina pada tahun 2013 tidak tertakluk kepada peraturan pemasangan tali pinggang keledar, yang hanya diwajibkan bagi bas keluaran selepas 2020.
“Dalam kes ini, bas berumur 12 tahun dan dibina sebelum peraturan itu diwajibkan. Sebab itu ia tidak ada tali pinggang untuk penumpang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan sedang meneliti langkah mewajibkan penggunaan teknologi keselamatan tambahan pada semua bas ekspres dan kenderaan berat, termasuk pengehad kelajuan (‘speed limiter’) dan kamera video dalam kenderaan.
Mengulas lanjut, Loke berkata kementerian sedang merangka dasar keselamatan jalan raya yang lebih ketat dan menyeluruh, termasuk bagi mengelak manipulasi terhadap peralatan keselamatan yang diwajibkan.
“Cabaran sebenar ialah pematuhan. Kita ada undang-undang, tapi bagaimana nak pastikan semua patuh? Itu yang kita sedang teliti,” katanya.
Beliau turut mengakui dasar keselamatan sering menerima kritikan, ada yang menganggap ia terlalu longgar, dan ada pula yang melihatnya terlalu membebankan pengusaha.
“Apabila kita mewajibkan sesuatu, akan ada pihak industri kata ia membebankan. Tapi kita kena ingat, keselamatan dan nyawa manusia lebih utama,” tegas beliau.
Dalam nada jelas terkesan, Loke berkata tragedi yang menimpa pelajar UPSI itu sangat menyayat hati dan menjadi peringatan penting tentang kelemahan sistem pemantauan dan penguatkuasaan yang wujud hari ini.
Beliau menyeru semua pihak, termasuk pengusaha pengangkutan, pemandu dan masyarakat, agar mengambil tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan jalan raya tidak dipandang ringan.
“Ini bukan soal salah siapa. Kita semua perlu main peranan. Pihak kerajaan, pengusaha dan orang awam sama-sama perlu serius soal keselamatan,” katanya lagi.
Menurut beliau, antara cadangan yang sedang diteliti ialah sistem sensor keselamatan yang menghalang pergerakan bas jika penumpang tidak memakai tali pinggang keledar.
“Kita nak pastikan pemandu tak boleh mula bergerak selagi semua penumpang belum pasang tali pinggang. Tapi semua ini perlu perincian dan kesediaan industri untuk melaksanakannya,” katanya.
Kemalangan ngeri itu berlaku awal pagi semalam di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, ketika bas yang membawa pelajar dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim. Bas dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah Perodua Alza. Selain 15 nyawa terkorban, tujuh lagi pelajar dilaporkan cedera parah.
Berita berkaitan
December 13, 2025, 12:01 pm
Paras air Sungai Klang lepasi tahap bahaya susulan hujan lebat
December 13, 2025, 11:53 am
Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati rupanya kekasih, ada 10 rekod jenayah
December 13, 2025, 11:39 am
Polis siasat video lori treler bawa helikopter halang laluan di Subang Jaya
December 13, 2025, 11:28 am
Polis Melaka beri kelonggaran peserta RXZ, tindakan tegas jika langgar undang-undang
December 12, 2025, 10:20 pm
Pengiktirafan UEC mesti selari Perlembagaan, Rukun Negara, tidak boleh diputuskan atas tekanan politik - KPT
December 12, 2025, 9:20 pm
Caj RM250 dari KLIA ke KLCC, 'ulat' teksi warga Bangladesh dicekup di KLIA
December 12, 2025, 8:45 pm
Sunway Square Mall jadi pusat beli-belah pertama di Malaysia benarkan bawa haiwan peliharaan
December 12, 2025, 6:32 pm
Lelaki parah ditembak ketika mencari petai dalam hutan di Kuala Pilah
December 12, 2025, 3:56 pm
Anwar tak sokong ikhtiraf UEC, anggap bertentangan prinsip perlembagaan
December 12, 2025, 3:42 pm
