TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Elak provokasi antara rakyat dan penguatkuasa, DBKL tambah baik penguatkuasaan tahun depan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 12 Jun - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil langkah proaktif dengan merancang pelbagai penambahbaikan dalam tindakan penguatkuasaan untuk tahun hadapan, bagi mengelakkan insiden seperti yang melibatkan 'Abang Belon' dan 'Kakak Gigit' daripada berulang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif memaklumkan bahawa antara cadangan utama ialah pelaksanaan kursus dan latihan khusus kepada anggota Jabatan Penguatkuasaan. Kursus ini akan dijalankan dalam empat fasa, melibatkan pelatih baharu dan penguat kuasa sedia ada.

Fasa pertama melibatkan latihan rejimental selama sebulan, yang merangkumi kawad kaki, latihan jasmani dan seni mempertahankan diri. Fasa kedua pula adalah latihan sambil bekerja di bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman, juga selama sebulan. Fasa ketiga merupakan kelas perundangan yang berlangsung selama 45 hari, manakala fasa keempat menumpukan kepada latihan kawad kaki dan persiapan tamat latihan kursus selama tiga minggu.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Penguatkuasa DBKL Tahun 2025 bagi Skuad 28 yang membabitkan 39 pelatih baharu di Menara Penguatkuasa, hari ini.

DBKL turut bekerjasama dengan beberapa agensi luar termasuk Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kursus dan bimbingan kepada pelatih.

Menurut Maimunah, pelaksanaan kursus ini bukan sahaja dapat meningkatkan ilmu dan keyakinan diri anggota penguat kuasa, malah akan memperbaiki persepsi masyarakat terhadap DBKL. Pegawai yang berpengetahuan dan berkeyakinan tinggi mampu memberikan perkhidmatan terbaik serta mewujudkan imej positif dalam kalangan warga kota.

Katanya lagi, penguatkuasaan undang-undang merupakan tonggak penting dalam tugas Jabatan Penguatkuasaan, dan pendekatan berhemah mampu mendidik masyarakat tanpa menimbulkan konfrontasi. Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara DBKL dan agensi penguatkuasaan lain demi membentuk jaringan komuniti kerja yang harmoni dan responsif.

Maimunah menutup ucapannya dengan menekankan prinsip 4P – Public, Private, People Partnership – sebagai asas kepada tadbir urus yang inklusif dan berkesan, serta mengharapkan Jabatan Penguatkuasaan dapat meneruskan legasi kecemerlangan yang dibina selama ini.

+ - reset