TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PN gesa tubuh RCI siasat kes Yusoff Rawther

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 12 Jun – Perikatan Nasional (PN) menggesa penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penipuan dan salah guna kuasa dalam siasatan serta pendakwaan terhadap Muhammed Yusoff Rawther.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya dakwaan itu terbukti, semua individu yang terlibat termasuk dalang utamanya perlu dihukum dengan seberat-beratnya.

Menurut beliau, Malaysia kini berisiko menjadi sebuah negara ‘gestapo’ apabila wujud anasir-anasir dalam agensi penguat kuasa yang didakwa bertindak mengikut telunjuk politik tanpa pertimbangan undang-undang dan keadilan.

“Untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara hukum, agensi penguat kuasa mesti bebas daripada unsur jahat. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mendesak jaminan keselamatan diberikan kepada Muhammed Yusoff susulan pembebasannya oleh mahkamah.

Beliau turut mempersoalkan kesahihan bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan, yang disifatkan sebagai lemah dan mungkin direka semata-mata untuk menyabitkan kesalahan jenayah ke atas Yusoff.

Tambahnya, pembebasan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Tinggi menunjukkan kemungkinan wujud konspirasi bagi menutup mulut Muhammed Yusoff berhubung saman sivil yang pernah difailkan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, besar kemungkinan kerana bukti telah direka. Ini bukti kebobrokan kuasa.

“Undang-undang yang sepatutnya melindungi rakyat digunakan secara rakus untuk menindas. Janji reformasi telah menjadi hipokrasi terbesar rejim Madani,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi membebaskan Muhammed Yusoff, 32, atas dua pertuduhan – mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki dua pistol tiruan pada 6 September 2024 – selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. - Media Telus.

+ - reset