TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua maut kereta dinaiki rempuh lori berhenti tepi jalan nak buang air

By
|
Kongsi
image

LIPIS 13 Jun - Perjalanan lapan sekeluarga dari Klang ke Kota Bharu untuk menziarahi saudara yang sakit berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), dekat Kampung Chegar Perah, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Roslawati Mat Daud, 50, yang duduk di tempat duduk belakang dan seorang kanak-kanak lelaki, Aqif Azfar Azman, 6, yang berada di pangkuan bapanya, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona dan sebuah lori yang berhenti di susur jalan untuk kecemasan.

“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bersama kelindannya dalam perjalanan dari Melaka ke Ketereh bagi menghantar perabot.

“Sementara itu, kereta yang dinaiki sekeluarga dari Klang menuju ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu untuk menziarahi seorang ibu saudara yang sakit.

"Apabila sampai di tempat kejadian, lori terbabit telah berhenti di susur jalan kerana pemandu mahu membuang air,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori yang berhenti di bahu jalan.

“Pemandu kereta dan lima lagi ahli keluarga lain mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut, manakala pemandu serta kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

+ - reset