TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jaga integriti, penjawat awam dilarang main TikTok, FB ketika bertugas

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan bahawa penjawat awam tidak dibenarkan menggunakan atau aktif di platform media sosial seperti TikTok dan Facebook sewaktu waktu bertugas.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, penjawat awam perlu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab kerja ketika waktu pejabat, selaras dengan peringatan yang telah dinyatakan dalam surat edaran rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh Jun 2013.

“Penggunaan media sosial sewaktu bertugas tanpa keperluan rasmi boleh dianggap sebagai satu tindakan yang menjejaskan produktiviti dan melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas persoalan mengenai sama ada penjawat awam dibenarkan aktif di media sosial semasa bertugas.

Menurut Adnan, walaupun CUEPACS tidak mempunyai akses kepada jumlah sebenar penjawat awam yang dikenakan tindakan disiplin atas kesalahan itu, pihaknya difahamkan bahawa JPA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mempunyai rekod lengkap dan mekanisme pemantauan berkenaan perkara tersebut.

“Apa yang lebih utama, CUEPACS menggesa semua penjawat awam agar sentiasa mematuhi etika dan tatakelakuan perkhidmatan, termasuk ketika menggunakan media sosial, demi menjaga maruah dan reputasi perkhidmatan awam di mata rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru agar semua penjawat awam mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi, serta menggunakan media sosial sebagai saluran untuk menyampaikan maklumat yang positif dan bermanfaat, bukan untuk mencemarkan nama baik jabatan atau kerajaan.

“Integriti dan fokus terhadap tugas adalah asas kepada keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam negara,” katanya. - Media Telus

+ - reset