TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Maszlee dakwa jemputan ucaptama di IPTA dibatalkan kerana tiada tauliah agama

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Jun – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mempersoalkan tindakan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Johor yang membatalkan sesi ucaptamanya atas alasan beliau tidak memiliki tauliah untuk mengajar agama di negeri itu.

Menurut Maszlee, ucaptama tersebut berkisar mengenai inovasi dan nilai ihsan dalam kerangka Malaysia Madani — bukan ceramah agama — sekali gus tidak sepatutnya tertakluk kepada syarat memiliki tauliah keagamaan.

“Sejak bila pula program akademik di menara gading memerlukan tauliah agama? Jika ceramah agama di masjid, saya faham dan memang itu bukan bidang saya lagi. Tapi ini wacana akademik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambah beliau, beliau konsisten menolak jemputan berkaitan ceramah keagamaan di khalayak umum kerana menghormati bidang kuasa para agamawan, kecuali jika ia melibatkan wacana akademik dalam Bahasa Arab atau Inggeris di peringkat universiti.

Seru garis pemisah antara akademik dan agama

Maszlee menyeru agar satu garis pemisah yang jelas diwujudkan antara ruang akademik dan bidang kuasa pihak berkuasa agama, bagi mengelakkan kekeliruan dan pertembungan bidang kuasa.

“Saya terbayang ketika dijemput memberi wacana akademik di universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Georgetown, Moscow dan University of Tehran, tidak pernah pula timbul isu tauliah agama,” katanya.

Beliau turut menyindir situasi tersebut sebagai “lelucon yang menghiburkan dunia,” dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak rasional serta memalukan.

“Saya tidak terkilan, cuma sedang menahan diri dari ketawa menyaksikan kelucuan ini,” katanya secara sinis. – Media Telus

+ - reset