TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar maut motosikal ditunggang rempuh kereta depan sekolah di Melaka

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 18 Jun – Seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gajah Berang, petang semalam.

Kejadian berlaku pada jam 4.48 petang ketika mangsa, Tai Yong Cheng, menunggang motosikal jenis Honda dari arah Tengkera ke Gajah Berang sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, insiden dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong kenderaan tersebut dari sebelah kiri namun melanggar bahagian hadapan kereta berkenaan yang sedang membelok ke kawasan sekolah.

“Mangsa bagaimanapun telah melanggar bahagian hadapan kenderaan dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun yang sedang membelok ke kiri untuk masuk ke kawasan SMK Gajah Berang.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik dibawa ke Hospital Melaka namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Media Telus

+ - reset