Berita Berita
Tiga sahabat terlepas hukuman gantung tuduhan edar ganja
IPOH 25 Jun - Mahkamah Tinggi di sini membebaskan dan melepaskan tiga lelaki daripada pertuduhan mengedar 1,145.5 gram ganja yang didakwa dilakukan enam tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, iaitu Mohd Nazreen Hazim Abdullah Satar, 35; Mohd Suhaimi Ahmad, 42; dan Muhammad Shafiq Shamsuddin, 38.
Mereka sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas tuduhan mengedar ganja di sebuah rumah di Taman Pinji Seni pada 17 November 2019, kira-kira jam 7.45 malam.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Bhupindar Singh menyatakan terdapat beberapa percanggahan dalam kes pendakwaan, termasuk keterangan bercanggah dalam laporan siasatan berkaitan barangan yang dirampas, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kes berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan kelewatan selama empat hari sebelum barangan dirampas dihantar untuk dianalisis serta kegagalan pendakwaan membuktikan sama ada pemeriksaan cap jari dilakukan atau laporan cap jari dikemukakan.
“Kegagalan memanggil pegawai forensik sebagai saksi juga menimbulkan kelemahan besar dalam kes pendakwaan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata gambar yang diambil di lokasi menunjukkan bekas plastik penuh dengan dadah, tetapi kelihatan separuh penuh ketika dihantar kepada ahli kimia, yang menimbulkan persoalan sama ada barangan yang dianalisis adalah sama dengan yang dirampas.
Sehubungan itu, katanya, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh dan membebaskan mereka tanpa perlu membela diri.
Dalam perbicaraan itu, Mohd Nazreen diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu, Mohd Suhaimi oleh Charan Singh, manakala Muhammad Shafiq diwakili V. Santhiran. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil.
Berita berkaitan
December 13, 2025, 12:01 pm
Paras air Sungai Klang lepasi tahap bahaya susulan hujan lebat
December 13, 2025, 11:53 am
Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati rupanya kekasih, ada 10 rekod jenayah
December 13, 2025, 11:39 am
Polis siasat video lori treler bawa helikopter halang laluan di Subang Jaya
December 13, 2025, 11:28 am
Polis Melaka beri kelonggaran peserta RXZ, tindakan tegas jika langgar undang-undang
December 12, 2025, 10:20 pm
Pengiktirafan UEC mesti selari Perlembagaan, Rukun Negara, tidak boleh diputuskan atas tekanan politik - KPT
December 12, 2025, 9:20 pm
Caj RM250 dari KLIA ke KLCC, 'ulat' teksi warga Bangladesh dicekup di KLIA
December 12, 2025, 8:45 pm
Sunway Square Mall jadi pusat beli-belah pertama di Malaysia benarkan bawa haiwan peliharaan
December 12, 2025, 6:32 pm
Lelaki parah ditembak ketika mencari petai dalam hutan di Kuala Pilah
December 12, 2025, 3:56 pm
Anwar tak sokong ikhtiraf UEC, anggap bertentangan prinsip perlembagaan
December 12, 2025, 3:42 pm
