TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Steven Sim tidak berganjak lawan Zaharuddin isu pelantikan Johnny Lim

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jun - Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa beliau tidak akan berganjak dalam mempertahankan pelantikan Datuk Johnny Lim Kean Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), meskipun berdepan ugutan tindakan undang-undang oleh Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, Menteri Sumber Manusia itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai niat Zaharuddin untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya selepas beliau mengecam kenyataan perkauman yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas itu sebelum ini.

“Pagi tadi, ketika berucap di sebuah forum peringkat ASEAN anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan WADAH, saya diberitahu tentang kenyataan balas Zaharuddin yang mahu saman saya.

“Beliau sendiri menghasut sentimen perkauman dengan memperalat gambar pelantikan Leftenan Jeneral ATM berbangsa Cina. Parti beliau sendiri mengakui ahlinya bertindak demikian dalam kenyataan media mereka,” katanya.

Steven menjelaskan bahawa tindakannya hanya untuk melawan perkauman dan mempertahankan maruah serta institusi ATM daripada sebarang bentuk penghinaan.

“Sekarang kamu mahu ambil tindakan undang-undang terhadap saya?

“Saya tidak akan berganjak daripada melawan pemimpin Pas itu yang bersikap perkauman, rasis dan menghina perajurit kita. Saya tunggu surat saman daripada peguamnya,” tegasnya.

Beliau turut menyeru pihak berkuasa agar mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap Zaharuddin.

“Apa yang saya perjuangkan ini kecil berbanding nilai perpaduan rakyat Malaysia serta pengorbanan anggota ATM yang mempertahankan negara,” katanya lagi.

Datuk Johnny Lim Kean Seng mencipta sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama dilantik sebagai Leftenan Jeneral ATM. Pemakaian pangkat itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dalam satu majlis rasmi di Wisma Pertahanan pada Isnin lalu.

Pas sebelum ini melalui kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan Zaharuddin yang didakwa tidak mencerminkan dasar dan Perlembagaan parti itu. – Media Telus

+ - reset