Berita Jenayah
Budak 12 tahun koyak kulit kepala dipukul guna tukul besi di JB, suspek positif dadah ditahan
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera parah selepas diserang menggunakan tukul besi oleh seorang lelaki dalam kejadian di Flat Ungku Tun Aminah di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 5.19 petang apabila seorang individu memaklumkan bahawa anak perempuannya telah diserang oleh seorang lelaki menggunakan senjata berbahaya.
"Pada Sabtu lalu kira-kira jam 5.19 petang, Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) menerima laporan daripada orang awam yang mendakwa bahawa anak perempuannya telah diserang oleh seorang lelaki menggunakan senjata iaitu sebatang tukul besi di kawasan Flat Ungku Tun Aminah, di sini.
"Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kira-kira jam 7.25 petang, sepasukan polis daripada Balai Polis Tun Aminah, Ibu Pejabat Polis Daerah JBU telah berjaya menahan suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun di kediamannya di sekitar kawasan Johor Bahru," katanya dalam kenyataan.
Balveer berkata, mangsa yang mengalami pendarahan teruk di kepala telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
"Mangsa adalah kanak-kanak perempuan tempatan berusia 12 tahun telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
"Mangsa mengalami kecederaan parah membabitkan koyakan kulit di bahagian kepala serta bengkak pada tangan kanan akibat serangan berkenaan," katanya.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2 minit 19 saat memaparkan sekumpulan kanak-kanak bermain di bahagian bawah flat berkenaan sebelum seorang daripada mereka dilihat melarikan diri menaiki lif dalam keadaan kepala berlumuran darah.
Tambah Balveer, suspek yang ditahan didapati memiliki pelbagai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.
"Hasil semakan mendapati suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau jenayah termasuk dadah dan pemeriksaan ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis meth," ujarnya.
Suspek kini direman tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 2 Ogos bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.
"Sesiapa yang dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan apa-apa alat, hendaklah dihukum dengan penjara maksimum sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
"Orang awam diminta tidak melanggar undang-undang, bertindak rasional dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya lagi.
Berita berkaitan
October 31, 2025, 3:01 pm
Konon mahu ubah nasib mangsa, sami dijel 15 tahun rogol remaja dalam kebun sawit
October 6, 2025, 7:09 pm
Polis buka kertas siasatan tatatertib terhadap pegawai dan anggota didakwa tawar sogokan RM500
October 1, 2025, 6:28 pm
Dua lelaki curi beg sekolah dari motosikal di Kluang
October 1, 2025, 12:17 pm
Dua lagi remaja ditahan kes serangan terhadap pemandu Myvi
September 30, 2025, 10:53 am
Sembilan remaja ditahan kes kepung dan serang Myvi di Serdang
September 29, 2025, 8:05 pm
Pemilik syarikat pakej perkahwinan tipu pelanggan lebih RM309,000 ditahan polis
September 29, 2025, 2:41 pm
(VIDEO) Penunggang motosikal cedera dirempuh Myvi pandu melulu di Kajang
September 25, 2025, 9:17 am
(VIDEO) Pemandu E-Hailing pandu melulu, hampir rempuh pejalan kaki ditahan polis
September 24, 2025, 11:27 am
