TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis tumpas ‘Geng Magic’ curi wang pelancong sekitar KL, 5 warga asing ditahan termasuk bapa dan anak

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai – Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah warga asing dikenali sebagai 'Geng Magic' yang dipercayai aktif mencuri wang tunai milik pelancong asing di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara termasuk Masjid Negara dan Bukit Bintang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lima suspek bukan warganegara termasuk seorang lelaki bersama anak perempuannya telah ditahan dalam dua tangkapan berasingan baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam kes pertama pada 18 Julai lalu jam 6.30 petang, seorang pelancong asing menjadi mangsa selepas didatangi sepasang lelaki dan wanita yang berpura-pura mahu bergambar di kawasan Masjid Negara sebelum meminta untuk melihat wang tunainya.

“Mangsa kemudian menyedari wang tunai berjumlah USD600 (RM2,790) di dalam begnya telah berkurangan dan mengesyaki pasangan terbabit telah melarikannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Susulan risikan, polis berjaya menahan empat individu bukan warganegara terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun di sekitar Jalan Sultan Ismail pada 22 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg suspek menemui pelbagai mata wang asing dari lebih 10 negara dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM16,998.16,” katanya.

Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 23 hingga 26 Julai sebelum ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari bermula 27 Julai hingga 9 Ogos.

Sulizmie berkata, antara empat suspek terbabit, dua daripadanya dikenal pasti sebagai bapa dan anak perempuan berusia lingkungan 50-an dan 20-an.

Dalam kes kedua yang berlaku pada 24 Julai, seorang pelancong asing membuat laporan polis pada jam 10.20 malam selepas didatangi empat lelaki di kawasan Bukit Bintang yang meminta untuk melihat wang tunai miliknya.

“Mangsa menyedari wang USD500 (RM2,325) dan RM650 di dalam begnya hilang selepas kejadian itu,” katanya.

Susulan laporan tersebut, polis menahan seorang lagi lelaki bukan warganegara berusia 20-an di lokasi sama dan merampas pelbagai mata wang asing bernilai RM363.13.

“Suspek direman mulai 25 Julai hingga semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, sebelum ditahan selama 14 hari di bawah Akta Imigresen bermula 29 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Kita masih mengesan rakan-rakan subahatnya yang dipercayai masih bebas. Orang ramai yang berada di kawasan pelancongan dinasihatkan agar lebih berwaspada,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua suspek dalam dua kes ini mengenali antara satu sama lain dan dipercayai berasal dari sebuah negara di Asia Barat.

“Mereka dikenal pasti sering berpindah randah, menyewa hotel bajet atau rumah di luar Kuala Lumpur bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Kesemua mereka memasuki Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam sejak September tahun lalu dan mendakwa pasport masing-masing telah hilang,” katanya.

Tambah beliau, kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan menyasarkan pelancong asing dan memperdaya mereka untuk menunjukkan wang tunai sebelum melarikannya tanpa disedari.

Menurutnya lagi, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 40 laporan polis diterima melibatkan kehilangan wang dengan modus operandi serupa, membabitkan pelancong asing sebagai mangsa.

“Daripada jumlah itu, 15 kes telah berjaya diselesaikan dengan 37 tangkapan, kesemuanya warga asing.

“Tahun lalu pula, 14 kes dilaporkan dan lima kes berjaya diselesaikan dengan sembilan suspek turut ditangkap,” katanya sambil menegaskan pemantauan dan kehadiran polis di lokasi tumpuan pelancong akan terus dipertingkatkan.

+ - reset