TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UPKO umum keluar PH serta-merta, tegaskan perjuangan Sabah First

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 10 Nov – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan penarikan diri daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu diadakan pada Isnin bagi membincangkan hala tuju perjuangan berteraskan agenda Sabah First.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Agang berkata, mesyuarat itu turut menyokong sepenuhnya keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman berkaitan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah yang difailkan Sabah Law Society (SLS).

Menurut Nelson, sepanjang empat tahun berada dalam PH, UPKO kekal memperjuangkan agenda Sabah First dalam rundingan manifesto pilihan raya serta dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Namun, wujud jurang tafsiran yang ketara antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional berhubung isu pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.

Beliau berkata, kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah juga tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah, selain UPKO turut menerima kecaman walaupun pemilihan dibuat secara sah.

Katanya, UPKO membuat penilaian semula dan mendapati hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami aspirasi, keperluan dan masa depan rakyat negeri ini, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung hak 40 peratus hasil Sabah.

Nelson menegaskan UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus hasil Sabah merupakan hak berasingan yang tidak boleh disamakan dengan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan.

UPKO juga bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang memperjuangkan agenda Sabah First bagi memastikan pelaksanaan sebenar MA63 dapat direalisasikan.

Beliau menambah, hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan wajar diteruskan, namun mestilah berasaskan semangat dan pelaksanaan sebenar MA63.

Katanya, keputusan keluar daripada PH akan dimaklumkan kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponennya, manakala dua Ahli Parlimen UPKO, Ewon dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar kestabilan kerajaan dikekalkan sehingga tamat penggal ini.

Ewon meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada Sabtu lalu.

+ - reset