TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan diarah bayar RM274,375 kepada Siti Kassim, mahkamah sahkan serbuan polis tak sah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Dis - Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa serbuan polis dan penahanan yang berlaku terhadap peguam serta aktivis, Siti Kasim pada tahun 2018 adalah tidak sah, sekali gus mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM274,375 kepada beliau dan anak guamnya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohammed Apandi dalam penghakimannya memutuskan serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kediaman Siti pada 21 Jun 2018 tanpa usaha menghubungi penghuni rumah terlebih dahulu merupakan satu perbuatan pencerobohan.

Siti atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 62, bersama anak guamnya, Anis Nur Izzatty Ruslan, 31, memfailkan saman berkenaan pada 29 Januari 2021 dengan menamakan 30 defendan, termasuk 22 pegawai polis yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat; bekas Pengarah Hospital Kajang, Dr Md Fikri Abu Bakar; Hospital Kajang; Ketua Polis Negara; Menteri Dalam Negeri; Menteri Kesihatan serta kerajaan Malaysia.

Mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi am sebanyak RM120,625 kepada Siti dan RM53,750 kepada Anis. Selain itu, defendan turut diarahkan membayar ganti rugi teladan berjumlah RM100,000 serta kos perbicaraan sebanyak RM50,000.

Dalam penghakiman, Arziah menyatakan fakta kes tidak dipertikaikan apabila salah seorang pegawai polis mengakui tidak membaca laporan polis berkaitan sebelum serbuan dilakukan.

Beliau menegaskan bahawa sebarang kemasukan ke premis persendirian tanpa kebenaran atau kuasa undang-undang adalah satu pencerobohan.

Menurutnya lagi, dalam kejadian berasingan dua hari kemudian, Siti telah ditangkap ketika menjalankan tugas profesionalnya walaupun pihak polis tidak mempunyai asas yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Tindakan defendan menunjukkan sikap cuai yang melampau dan tidak mengendahkan hak perlembagaan plaintif," katanya.

Pada prosiding hari ini, kerajaan dan defendan lain diwakili Peguam Persekutuan, Anis Najwa Nazari, manakala peguam Surendra Ananth mewakili Siti dan Anis.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif menyatakan Anis mendapatkan perlindungan di rumah Siti susulan masalah keluarga dan berada di kediaman itu pada 21 Jun 2018 ketika Siti menghadiri satu persidangan.

Mereka mendakwa sembilan anggota polis berpakaian preman telah memasuki rumah Siti dengan memecahkan gril dan pintu utama sebelum membawa Anis secara tidak sah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, ketika beliau bersembunyi di dalam bilik air.

Pada 23 Jun 2018, Siti hadir ke IPD Kajang selepas mengetahui anak guamnya ditahan secara tidak sah, namun mendakwa beliau tidak dibenarkan berjumpa Anis.

Kira-kira jam 11 malam pada hari sama, Siti ditahan polis atas alasan menculik Anis dan menghalang tugas polis, namun permohonan reman terhadapnya kemudian ditolak oleh Majistret.

+ - reset