Berita Berita
UMNO junjung kasih Agong, mohon ihsan buat Najib Razak
KUALA LUMPUR 16 Jan – UMNO merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar berkenan memberikan ihsan terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi membolehkan bekas perdana menteri itu memperoleh apa jua pertimbangan dan keringanan untuk kembali ke pangkuan keluarga serta UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan parti terhadap Najib tidak pernah berubah dan usaha pembelaan yang dilakukan juga kekal teguh meskipun berdepan pelbagai dakwaan dan persepsi negatif.
Menurut beliau, wujud tuduhan kononnya beliau mengetepikan semangat setiakawan terhadap Najib selain dakwaan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan demi kepentingan peribadi, namun hakikatnya solidariti parti terhadap bekas presiden UMNO itu tidak pernah luntur.
“Apabila menyebut nama Datuk Seri Najib, sokongan kita tidak pernah berubah dan usaha pembelaan kita juga tidak pernah goyah.
“Malah, beliau sendiri telah menghubungi saya untuk menitipkan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada seluruh sidang perwakilan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rasa simpati, pembelaan dan solidariti UMNO terhadap Najib sering dijadikan bahan momokan dan dipersendakan oleh pihak tertentu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan kepimpinan tertinggi UMNO tidak memandang ringan suara akar umbi, khususnya desakan supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Katanya, segala keluh-kesah, keresahan serta cadangan termasuk tuntutan untuk menarik diri daripada kerajaan didengari, dinilai dan diperhalusi secara menyeluruh oleh kepimpinan parti.
Namun, Ahmad Zahid menjelaskan keputusan UMNO untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bukanlah keputusan mudah, sebaliknya dibuat berasaskan pertimbangan kepentingan negara dan maslahah ummah.
“Kesabaran UMNO ada batasnya dan UMNO bukan parti tempelan atau sekadar pelengkap kepada mana-mana gabungan.
“Jangan anggap UMNO sebagai parti kari pulla atau daun kari, bila hendak memasak dicampak ke dalam kuali, bila dihidang dikuis ke tepi. UMNO adalah tiang seri kepada kestabilan negara,” tegasnya.
Berita berkaitan
January 16, 2026, 3:36 pm
UMNO sedia buka pintu seluas-luasnya tarik tokoh Melayu kembali ke parti
January 16, 2026, 3:17 pm
Padang Merbok dibuka semula kepada orang awam selepas hampir setahun ditutup
January 16, 2026, 3:03 pm
Siasatan dakwaan aktiviti tidak bermoral libatkan 21 pegawai TUDM selesai
January 16, 2026, 2:57 pm
Dua pelajar universiti swasta masih dirawat akibat letupan gas pendingin hawa
January 16, 2026, 12:59 pm
Shahril Hamdan tiada hasrat kembali ke barisan hadapan politik
January 16, 2026, 12:29 pm
UMNO tubuh jawatankuasa penyatuan ummah, buka pintu terima kembali bekas ahli
January 16, 2026, 11:28 am
Pertambahan ahli UMNO bukan jaminan kemenangan pilihan raya – Asyraf Wajdi
January 16, 2026, 11:25 am
