Berita Berita
Anwar arah keputusan perolehan tentera, polis dibekukan sementara susulan isu rasuah
KUALA LUMPUR 16 Jan - Kerajaan mengambil langkah tegas membanteras rasuah dengan mengarahkan semua keputusan perolehan membabitkan tentera, polis serta agensi berkaitan yang terpalit isu rasuah, dibekukan sementara bagi tujuan penelitian lanjut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan itu bertujuan membolehkan semua keputusan terbabit disemak dan disusun semula bagi memastikan peraturan proses perolehan dipatuhi sepenuhnya serta bebas daripada unsur rasuah.
Beliau menegaskan langkah berkenaan penting memandangkan masih wujud budaya memandang ringan isu rasuah dalam kalangan pihak tertentu.
Malah, katanya, terdapat pihak yang mempertahankan perbuatan itu, termasuk ketika tindakan diambil terhadap bekas pemimpin yang memiliki kekayaan berbilion ringgit.
"Di Parlimen umpamanya, apabila tindakan diambil terhadap mantan-mantan menteri yang ada kekayaan berbilion (ringgit), kadang-kadang kita disanggah dan tidak diberikan kerjasama.
"Budaya buruk dan merosakkan ini mesti diperbaiki segera," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid di Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menekankan pembanterasan rasuah memerlukan tekad politik yang kuat serta kerjasama seluruh rakyat.
"Kefahaman mengenai kesan buruk rasuah perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat.
"Kerajaan tidak campur tangan dalam urusan penyiasatan, namun memandang serius perkembangan berkaitan rasuah kerana kegagalan mengambil tindakan tegas secara menyeluruh boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.
"Jika RM10 juta atau RM20 juta diambil secara tidak sah, wang itu sepatutnya kembali kepada kerja-kerja pasukan tentera pada peringkat bawahan atau projek-projek kecil yang memberikan manfaat terus kepada rakyat," katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau menunggu laporan terperinci berhubung sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan sedia ada.
Katanya, ia termasuk ruang kelulusan perbelanjaan bernilai kecil yang mudah disalahgunakan oleh jabatan tertentu, termasuk Kementerian Pertahanan.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kenyataan tegas dan jelas yang dikeluarkan berhubung isu berkenaan.
Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita barangan bernilai RM11.4 juta dari dua kediaman bekas Panglima Tentera Darat (PTD), termasuk sebuah ‘rumah rahsia’ di Kuala Lumpur.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dipetik berkata rampasan turut dilakukan di sebuah rumah di Besut, Terengganu.
Sitaan itu termasuk wang tunai RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, seunit kereta Range Rover SVR dianggarkan bernilai RM360,000, dan 26 unit jam (RM2.3 juta).
Turut disita ialah barang kemas bernilai RM294,039.90, dua bentuk cincin berlian (RM20,000), jongkong emas seberat 3.7 kilogram (RM2.5 juta), medalion emas 150 gram (RM102,000) dan dua dinar emas seberat 8.5 gram (RM5,780).
Dalam kes membabitkan bekas PTD itu, sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan oleh SPRM.
Ops Parasit bermula pada 23 Disember lalu membabitkan siasatan terhadap bekas PTD berhubung transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam beberapa akaun dengan jumlah antara RM40,000 hingga ratusan ribu ringgit.
Pada 7 Januari lalu, bekas PTD terbabit bersama dua isterinya ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kes tender perolehan Tentera Darat.
Berita berkaitan
March 12, 2026, 12:45 pm
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan
March 12, 2026, 12:14 pm
Kediaman Cikgu Chandra sekali lagi diserang, terima ugutan daripada bekas ahli politik
March 12, 2026, 11:19 am
Lelaki maut terjun tingkat tiga ketika cuba elak ditahan polis di Jalan Gombak
March 12, 2026, 10:41 am
MOTAC susun semula strategi promosi TMM 2026 susulan ketegangan Asia Barat
March 12, 2026, 9:46 am
Gempar hutan di lebuh raya MEX terbakar, 27 anggota bomba terlibat padam api lebih dua hektar
March 12, 2026, 9:17 am
KESUMA mulakan langkah jimat tenaga, teliti perluas amalan WFH bagi sektor swasta
March 11, 2026, 10:16 pm
Kabinet lulus projek Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey
March 11, 2026, 10:02 pm
Lagi kes hina al-Quran: MCMC siasat akaun media sosial Dickie Borneo
March 11, 2026, 9:50 pm
