Berita Berita
Ustaz serang 13 pelajar madrasah dengan topi keledar didenda RM18,200
KOTA KINABALU 22 Dis – Lelaki yang tular selepas rakaman video memaparkan dirinya menyerang sekumpulan pelajar di sebuah madrasah dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM18,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan menyebabkan kecederaan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mahkamah mengenakan denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan atau hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Saifur didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas 13 mangsa lelaki berusia antara 14 hingga 20 tahun di hadapan premis Gaming Zone di Bandar Sierra, di sini, pada 14 Disember lalu antara jam 11.55 malam hingga 11.58 malam.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Dalam mitigasi, peguam Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh bekerja sebagai ustaz dengan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan kes itu merupakan kesalahan pertamanya.
“Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendapati mangsa ‘melarikan diri’ dari asrama sekitar jam 11.30 malam, dan itu menyebabkan dia berang.
“Walaupun itu bukan alasan untuk memukul mereka, ia menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan. Dapatan kes juga menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan polis dibuat oleh pihak berkuasa dan bukannya oleh mangsa atau ibu bapa mereka.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta tahap keseriusan kesalahan.
Menurutnya, niat baik tertuduh tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan perbuatan yang melanggar undang-undang.
“Hukuman ini perlu menjadi pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan sama serta memberi mesej jelas bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap kesalahan sedemikian,” katanya.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan satu laporan polis dibuat pada 15 Disember jam 7.07 malam susulan penularan video yang memaparkan tertuduh menyerang mangsa.
Siasatan mendapati pada 14 Disember sekitar jam 11.55 malam, tertuduh menyerang 13 pelajar lelaki yang berada di sebuah kedai Gaming Zone di Bandar Sierra dengan menggunakan topi keledar, tanpa menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis berkenaan.
Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta Hospital Queen Elizabeth dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut.
Hasil siasatan lanjut mengesahkan tertuduh menyebabkan kecederaan ke atas semua mangsa dengan memukul mereka menggunakan topi keledar.
Tertuduh membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Berita berkaitan
January 16, 2026, 8:43 pm
Perbelanjaan SARA hampir 100 peratus, bukti keberkesanan bantuan
January 16, 2026, 8:35 pm
28 Pati sanggup berhimpit dua hari dalam ruang simpanan ikan elak dicekup Maritim
January 16, 2026, 8:35 pm
MINDEF patuh arahan PM bekukan sementara perolehan ATM berkait isu rasuah
January 16, 2026, 7:29 pm
Tiada pemilihan UMNO tahun ini, ditangguh sehingga selepas PRU16 – Ahmad Zahid
January 16, 2026, 5:29 pm
Anwar arah keputusan perolehan tentera, polis dibekukan sementara susulan isu rasuah
January 16, 2026, 4:16 pm
Cikgu sekolah rendah didakwa pegang kemaluan empat murid lelaki di Seremban
January 16, 2026, 3:36 pm
UMNO sedia buka pintu seluas-luasnya tarik tokoh Melayu kembali ke parti
January 16, 2026, 3:17 pm
Padang Merbok dibuka semula kepada orang awam selepas hampir setahun ditutup
January 16, 2026, 3:03 pm
Siasatan dakwaan aktiviti tidak bermoral libatkan 21 pegawai TUDM selesai
January 16, 2026, 2:57 pm
