TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ttitah adendum Najib, hormat keputusan mahkamah - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penolakan permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan pelaksanaan Titah Adendum.

Beliau menekankan bahawa tiada pihak wajar mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam isu yang sensitif ini, walaupun terdapat perbezaan pandangan termasuk soal menzahirkan simpati terhadap Najib dan keluarganya.

Menurut Anwar, Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta pengasingan kuasa, khususnya kebebasan badan kehakiman daripada sebarang campur tangan.

“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak akur dengan keputusan mahkamah selaras dengan prinsip negara hukum, di samping mengingatkan bahawa saluran perundangan masih terbuka untuk sebarang rayuan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib bagi melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu, sekali gus menjadikan Titah Adendum berkenaan tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah tersebut dengan serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya bagi menjalani baki hukuman.

Permohonan itu difailkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta dalam kes SRC International Sdn Bhd.

+ - reset