Berita Berita
Kerajaan Perpaduan perlu laksana perubahan secara waras dan bijaksana – Anwar
RAWANG 3 Jan – Kerajaan Perpaduan perlu melaksanakan sebarang perubahan secara waras dan bijaksana, selari dengan realiti mandat sebenar yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, meskipun kerajaan kini diberi kepercayaan untuk mentadbir negara, hakikatnya jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki tidak bersifat mutlak dan memerlukan kefahaman serta rundingan berterusan antara parti-parti komponen dalam kerajaan.
“Kita mendapat mandat untuk menjadi kerajaan, namun perlu diingat bahawa kita tidak menguasai 200 kerusi Parlimen. Perubahan memang perlu dilaksanakan, tetapi ia mesti dilakukan secara waras dan bijaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Keluarga dan Rapat Reformasi 2026 yang berlangsung di Bukit Beruntung Golf Resort, di sini hari ini.
Anwar menegaskan bahawa agenda reformasi kekal sebagai asas utama pentadbiran Kerajaan Perpaduan, termasuk komitmen membanteras rasuah, penyelewengan serta menolak budaya angkuh dalam kalangan pemegang kuasa.
“Gunakan kuasa dengan bijaksana. Ketika diberi kuasa, laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin. Jangan jadi seperti mereka yang tidak melakukan apa-apa ketika berkuasa, tetapi lantang bersuara apabila kehilangan kuasa,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa usaha memerangi rasuah serta memulihkan kebebasan institusi, khususnya badan kehakiman, bukanlah tugas mudah kerana ia berdepan tentangan pihak yang selesa dengan sistem lama.
“Golongan yang biasa dengan rasuah tidak akan senang dengan usaha ini. Begitu juga mereka yang pernah mencabul kebebasan kehakiman, sudah tentu tidak gembira dengan keputusan yang bebas dan adil,” jelasnya.
Menyentuh soal perpaduan kaum, Anwar menegaskan pendekatan sempit berasaskan kaum atau kepentingan kelompok tertentu perlu dihentikan demi menjamin kestabilan dan keselamatan negara.
“Semua kaum perlu melihat sesuatu isu dalam kerangka besar Malaysia. Jika tidak, negara ini tidak akan berada dalam keadaan yang selamat dan stabil,” katanya.
Berita berkaitan
January 16, 2026, 8:43 pm
Perbelanjaan SARA hampir 100 peratus, bukti keberkesanan bantuan
January 16, 2026, 8:35 pm
28 Pati sanggup berhimpit dua hari dalam ruang simpanan ikan elak dicekup Maritim
January 16, 2026, 8:35 pm
MINDEF patuh arahan PM bekukan sementara perolehan ATM berkait isu rasuah
January 16, 2026, 7:29 pm
Tiada pemilihan UMNO tahun ini, ditangguh sehingga selepas PRU16 – Ahmad Zahid
January 16, 2026, 5:29 pm
Anwar arah keputusan perolehan tentera, polis dibekukan sementara susulan isu rasuah
January 16, 2026, 4:16 pm
Cikgu sekolah rendah didakwa pegang kemaluan empat murid lelaki di Seremban
January 16, 2026, 3:36 pm
UMNO sedia buka pintu seluas-luasnya tarik tokoh Melayu kembali ke parti
January 16, 2026, 3:17 pm
Padang Merbok dibuka semula kepada orang awam selepas hampir setahun ditutup
January 16, 2026, 3:03 pm
Siasatan dakwaan aktiviti tidak bermoral libatkan 21 pegawai TUDM selesai
January 16, 2026, 2:57 pm
