TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki warga Britain sesat ketika mendaki Bukit Batu Feringghi ditemui selamat

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 5 Feb – Seorang lelaki warga Britain berusia 63 tahun yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Feringghi di sini berjaya ditemui dalam keadaan selamat awal pagi Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa dikenali sebagai Clarke Julian Francis dipercayai sesat di kawasan hutan sebelum menghubungi talian kecemasan NG999 pada jam 4.01 petang, Rabu bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Teluk Bahang telah digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Mangsa berjaya dihubungi dan turut menghantar lokasi keberadaannya melalui aplikasi WhatsApp, sekali gus memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera melaksanakan operasi SAR dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam di lokasi.

“Operasi berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat sebelum dibawa turun ke kaki bukit.

“Setelah memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.46 pagi Khamis,” katanya.

Tambah beliau, seramai enam anggota termasuk seorang penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan sebuah jentera LFRT dari BBP Teluk Bahang.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan serta memaklumkan pergerakan kepada pihak berkaitan sebelum melakukan aktiviti pendakian, khususnya di kawasan hutan dan berbukit.

+ - reset