Berita Berita
'Jangan ikut tabiat PAS, semua dia lakukan halal, bila orang lain buat dianggap haram’ – Nga Kor Ming
KUALA LUMPUR 6 Feb - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyelar sikap politik PAS yang didakwanya cenderung menghalalkan tindakan sendiri, namun melabelkan perbuatan baik pihak lain sebagai salah atau haram, khususnya dalam isu berkaitan sensitiviti agama.
Teguran itu disuarakan menerusi satu hantaran video di Facebook dengan kapsyen “Jangan ikut tabiat PAS!”, yang secara terbuka menyindir pendekatan politik parti berkenaan dalam menangani isu agama.
Kor Ming berkata, konsep Malaysia MADANI menuntut nilai hormat dan ihsan, terutama dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, serta menolak sikap memonopoli kebenaran atas nama agama atau kaum.
“MADANI untuk semua. Perlu ditegaskan dalam kerangka MADANI itu ada hormat, dalam MADANI juga ada ihsan.
“Di masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, amalan saling menghormati itu penting dan rakyat tidak harus dipisahkan dengan faktor warna kulit mahupun kepercayaan ugama.
“Jangan ikut tabiat parti PAS, semua yang dia lakukan halal, bila orang lain lakukan perkara yang baik pun dianggap haram,” tulisnya pada Khamis.
Hantaran itu dibuat susulan sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini apabila beliau dipersoalkan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) berhubung penggunaan kalimah yang sinonim dengan umat Islam.
Dalam video berkenaan, Kor Ming menegaskan bahawa beliau menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan menafikan dakwaan bahawa penggunaan kalimah tertentu bertujuan mempermainkan atau merendahkan kesucian Islam.
“Kita sebagai anak Malaysia, kita menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mana ada dipermain-mainkan perkataan seperti kurang elok,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa istilah seperti Alhamdulillah dan Insya-Allah adalah perkataan dalam bahasa Arab yang membawa maksud kesyukuran dan harapan, selain digunakan secara meluas dalam konteks sejagat.
“Dalam bahasa bersyukur lah. Dalam bahasa Arab, Alhamdulillah. Jangan kita selalu cenderung kepada isu yang bercanggah dengan perpaduan,” ujarnya.
Tambah Kor Ming, rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Dayak, dan kesemuanya perlu disatukan sebagai sebuah keluarga besar berteraskan prinsip saling menghormati.
Terdahulu, Siti Zailah berpandangan penggunaan kalimah berkenaan bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan bukan Islam, malah disifatkan seolah-olah mencemarkan kesucian agama Islam.
“YB dalam penggulungan banyak guna kalimah orang Islam, nak sujud syukur, Alhamdulillah, bersyukur, adakah YB beriman? Adakah percaya dengan Allah? Kami tak mahu kalimah ini dipermainkan.
“Ini seolah-olah sentuh 3R (isu sensitif berkaitan raja, agama dan kaum) yang kami diminta menjaga (percakapan), kami tak nak ia mengelirukan orang bukan Islam, kalau YB orang Islam, saya tak kisah,” kata beliau.
Berita berkaitan
February 6, 2026, 9:59 pm
Bapa OKU sembilan anak didakwa 3 pertuduhan amang seksual anak perempuan bawah umur
February 6, 2026, 5:35 pm
Polis tumpas sindiket dadah laluan Kelantan–Lembah Klang, rampasan dadah bernilai RM13.25 juta
February 6, 2026, 5:13 pm
Nik Nazmi sindir Takiyuddin ‘guna ilmu kasyaf’ isu pilihan raya Datuk Bandar KL
February 6, 2026, 5:08 pm
Polis sahkan MPV guna siren di lebuh raya ada kelulusan JPJ bagi urusan rasmi kementerian
February 6, 2026, 5:03 pm
Pengerusi IJM ditahan SPRM, siasatan babit tadbir urus dan aset luar negara RM2.5 bilion
February 6, 2026, 3:13 pm
Tun Mahathir dibenar pulang ke rumah selepas sebulan dirawat di IJN
February 6, 2026, 3:07 pm
