Berita Berita
Bas ekspres rempuh dua lori di PLUS, pemandu lori maut, kanak-kanak antara tujuh cedera
HULU SELANGOR 5 Feb – Perjalanan awal pagi bertukar tragedi apabila sebuah bas ekspres terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan tujuh individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 pagi.
Menurutnya, seramai 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan bantuan BBP Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi sembilan minit kemudian, didapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres, sebuah lori 10 tan jenis bonded dan sebuah treler,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Mukhlis berkata, pemandu lori bonded disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Kelindan lori berkenaan pula mengalami patah tulang rusuk dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan ambulans KKM,” katanya.
Beliau berkata, seramai 28 individu berada di dalam bas berkenaan ketika kejadian termasuk 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak serta dua pemandu.
“Pemandu bas berusia 39 tahun didapati tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba pada jam 6.05 pagi.
“Tiga penumpang lelaki mengalami kecederaan ringan manakala seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan mengalami pendarahan di hidung namun berada dalam keadaan sedar,” katanya.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, seorang lelaki yang menaiki treler pula mengalami kecederaan di bahagian tengkuk namun menolak untuk dibawa ke hospital.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Berita berkaitan
February 7, 2026, 3:07 pm
Kelantan jangka masalah air selesai menjelang 2050
February 7, 2026, 2:47 pm
'Tahan, humban mereka yang gugat keselamatan negara' - Anwar
February 7, 2026, 11:16 am
Polis tidak benarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di Sogo atas faktor keselamatan
February 6, 2026, 9:59 pm
Bapa OKU sembilan anak didakwa 3 pertuduhan amang seksual anak perempuan bawah umur
February 6, 2026, 5:35 pm
Polis tumpas sindiket dadah laluan Kelantan–Lembah Klang, rampasan dadah bernilai RM13.25 juta
February 6, 2026, 5:20 pm
'Jangan ikut tabiat PAS, semua dia lakukan halal, bila orang lain buat dianggap haram’ – Nga Kor Ming
February 6, 2026, 5:13 pm
Nik Nazmi sindir Takiyuddin ‘guna ilmu kasyaf’ isu pilihan raya Datuk Bandar KL
February 6, 2026, 5:08 pm
Polis sahkan MPV guna siren di lebuh raya ada kelulusan JPJ bagi urusan rasmi kementerian
February 6, 2026, 5:03 pm
