Berita Berita
Kes fitnah kaitkan Ismail Sabri dengan serangan anak Rafizi diklasifikasi NFA
KUALA LUMPUR 5 Feb – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan bahawa kes fitnah yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau No Further Action (NFA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan berhubung kes berkenaan di bawah Dang Wangi Report 23401/2025 bertarikh 18 Ogos 2025.
Menurutnya, PDRM membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan dirujuk kepada AGC pada 23 Disember 2025 dan AGC memutuskan kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Rafizi yang meminta penjelasan mengenai status siasatan PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung laporan dibuat oleh Setiausaha Akhbar Ismail Sabri.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas laporan analisis profil oleh SKMM mendapati pemilik akaun Facebook yang terlibat tidak dapat dikenal pasti dan tiada bukti konklusif untuk mengaitkan mana-mana individu dengan akaun berkenaan.
Untuk rekod, anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos tahun lalu, dengan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dua lelaki mengekori kenderaan isteri Rafizi menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian berlaku.
Susulan itu, Ismail Sabri membuat laporan polis serta aduan kepada SKMM terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu dan berunsur fitnah yang mengaitkannya dengan serangan berkenaan.
Rafizi sebelum ini menafikan sebarang dakwaan yang mengaitkan Ismail Sabri dengan insiden tersebut.
Pada 30 Januari lalu, Rafizi dilaporkan berkata beliau bersedia menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri bagi memohon agar siasatan kes serangan terhadap anaknya dihentikan sekiranya tiada perkembangan positif.
Beliau bagaimanapun menegaskan masih mempercayai proses siasatan yang sedang dijalankan meskipun kes berkenaan telah mengambil tempoh yang panjang sejak Ogos tahun lalu.
Berita berkaitan
February 7, 2026, 3:07 pm
Kelantan jangka masalah air selesai menjelang 2050
February 7, 2026, 2:47 pm
'Tahan, humban mereka yang gugat keselamatan negara' - Anwar
February 7, 2026, 11:16 am
Polis tidak benarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di Sogo atas faktor keselamatan
February 6, 2026, 9:59 pm
Bapa OKU sembilan anak didakwa 3 pertuduhan amang seksual anak perempuan bawah umur
February 6, 2026, 5:35 pm
Polis tumpas sindiket dadah laluan Kelantan–Lembah Klang, rampasan dadah bernilai RM13.25 juta
February 6, 2026, 5:20 pm
'Jangan ikut tabiat PAS, semua dia lakukan halal, bila orang lain buat dianggap haram’ – Nga Kor Ming
February 6, 2026, 5:13 pm
Nik Nazmi sindir Takiyuddin ‘guna ilmu kasyaf’ isu pilihan raya Datuk Bandar KL
February 6, 2026, 5:08 pm
Polis sahkan MPV guna siren di lebuh raya ada kelulusan JPJ bagi urusan rasmi kementerian
February 6, 2026, 5:03 pm
