TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dana dakwah RM1.3 juta disyaki diseleweng: Pendakwah bebas direman lagi, SPRM dedah beli rumah RM500,000

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 6 Feb – Seorang pendakwah bebas sekali lagi direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama seorang Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini, selepas disyaki bersubahat menyeleweng dana mencecah RM1.3 juta.

Perintah reman selama tiga hari sehingga Ahad ini dikeluarkan oleh Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an ditahan semula kira-kira jam 6 petang semalam di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani bagi membantu siasatan kes berasingan.

Difahamkan, mereka sebelum itu direman sehari di Mahkamah Majistret Sungai Petani, namun dibebaskan pada jam 5 petang hari sama sebelum ditahan semula.

Sumber berkata, pendakwah bebas berkenaan yang juga Pengarah Urusan institusi pendidikan dan dakwah terbabit disyaki meluluskan kemasukan dana kira-kira RM1.3 juta ke dalam akaun peribadinya, dipercayai dengan kerjasama suspek wanita terbabit.

“Siasatan turut mendapati kedua-dua suspek meluluskan pembayaran bagi pembelian sebuah rumah bernilai kira-kira RM500,000, dipercayai menggunakan dana institusi,” katanya.

Semalam, kedua-dua individu itu turut direman selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pembayaran kira-kira RM600,000 bagi tujuan kutipan dana institusi pendidikan dan dakwah berkenaan tanpa persetujuan rakan kongsi lain.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Menurut beliau, siasatan dijalankan oleh SPRM Kedah bersama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa.

Terdahulu, media melaporkan SPRM Kedah menahan dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki bersubahat menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 sebagai balasan bagi aktiviti pengumpulan dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.

+ - reset