TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tidur atas pasir, dinding jadi bantal, NGO selamatkan warga emas uzur dikurung dalam bilik kotor di Kelantan

By
|
Kongsi
image

PASIR MAS 6 Feb - Keadaan seorang warga emas yang uzur dan tidak terurus di Kampung Repek di sini mencetuskan perhatian ramai selepas dia diselamatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial.

Warga emas dikenali sebagai Pak Mail itu sebelum ini tular selepas kisahnya dikongsikan oleh aktivis, Abbe Hae menerusi akaun media sosial miliknya, dengan ramai meluahkan simpati terhadap keadaan lelaki berkenaan.

Pak Mail ditemui dalam keadaan tidak bermaya di dalam sebuah rumah yang kotor dan tidak terurus, selain fizikalnya yang terlalu kurus dan tidak berdaya sehingga terpaksa didukung oleh sukarelawan untuk dibawa keluar dari kediamannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, Zamakhshari Muhamad, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat mengenai kes berkenaan lebih awal dan telah mengarahkan penghulu mukim untuk membuat semakan serta tindakan susulan di peringkat kampung.

"Hasil maklum balas daripada penghulu selepas berhubung secara langsung dengan anak kepada warga emas itu, dimaklumkan bahawa mangsa mempunyai masalah kesihatan mental.

"Tindakan mengurung dibuat oleh ahli keluarga atas faktor keselamatan bagi mengelakkan mangsa mengganggu orang awam dan mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri serta orang lain.

"Perkara ini menunjukkan isu berkenaan bukan kes pengabaian yang disengajakan, sebaliknya membabitkan situasi kesihatan mental yang memerlukan pendekatan berhemah, profesional dan berfakta serta pembabitan agensi berkaitan," katanya.

Zamakhshari turut menegaskan bahawa kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan dan setiap maklumat yang diterima akan ditangani mengikut prosedur, selain berpandukan nasihat pihak berautoriti serta keperluan sebenar kes, termasuk aspek keselamatan dan kesihatan.

Beliau berkata, orang ramai diminta supaya tidak membuat andaian atau membina naratif berdasarkan emosi dan visual semata-mata kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham serta memberi tekanan tidak wajar kepada keluarga terbabit.

Tambahnya, kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan isu sensitif seperti ini ditangani secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan melalui saluran yang betul.

+ - reset