TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tun Mahathir dibenar pulang ke rumah selepas sebulan dirawat di IJN

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Feb – Selepas genap sebulan menjalani rawatan akibat patah tulang pinggul kanan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini dibenarkan menjalani home leave apabila dibenarkan pulang dan bermalam di kediamannya.

Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff memaklumkan, kebenaran itu telah diberikan sejak dua hari lalu selepas pasukan perubatan berpuas hati dengan perkembangan pemulihan kesihatan negarawan berusia 100 tahun itu.

Bagaimanapun, menurut beliau, Dr. Mahathir masih perlu kembali ke Institut Jantung Negara (IJN) pada waktu siang bagi meneruskan rawatan serta pemerhatian rapi oleh pasukan perubatan.

“Setakat ini, pasukan perubatan IJN berpuas hati dengan kemajuan pemulihan kesihatan Tun serta tindak balas beliau terhadap rawatan dan fisioterapi yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sufi turut menegaskan bahawa walaupun dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat, Dr. Mahathir masih berada di bawah pemantauan rapi pihak perubatan.

“Pakar perubatan juga masih menasihatkan supaya Tun tidak menerima sebarang pelawat selain ahli keluarga terdekat buat masa ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Dr. Mahathir, isteri serta ahli keluarga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa bertanya khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.

Untuk rekod, Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, yang mengakibatkan kecederaan pada bahagian pinggul kanan.

Beliau kemudiannya menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan hasil perbincangan bersama pakar perubatan IJN, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Hospital Kuala Lumpur.

Pada 27 Januari lalu, Dr. Mahathir turut mencuri perhatian apabila keluar seketika menikmati segelas coklat ais selepas 22 hari dirawat, sekali gus memberi isyarat positif terhadap tahap pemulihan kesihatannya.

+ - reset