TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kos terlalu tinggi, projek trem tanpa landasan di Putrajaya dibatalkan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Feb - Cadangan pelaksanaan Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan di Putrajaya tidak diteruskan selepas kajian mendapati kos keseluruhan projek itu terlalu tinggi dan di luar kemampuan kewangan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, anggaran kos pelaksanaan ART merangkumi pembangunan infrastruktur, sistem, operasi serta penyelenggaraan mencecah RM211.95 juta bagi tempoh 10 tahun.

"Untuk makluman, pelaksanaan projek perintis ART oleh Kementerian Pengangkutan di Putrajaya telah dilaksanakan dari 1 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024.

"Hasil kajian awal mendapati anggaran kos pelaksanaan ART termasuk kos pembangunan infrastruktur, sistem, operasi dan penyelenggaraan adalah sangat tinggi iaitu RM211.95 juta untuk tempoh 10 tahun.

"Kos ini adalah di luar kemampuan kewangan PPj sebagai PBT. Atas dasar itu, PPj tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya serta tiada cadangan untuk peluasan jajaran fasa seterusnya," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung status terkini ART di Putrajaya selepas pelaksanaan fasa rintis sebelum ini.

Mengulas lanjut, Su Fui yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, keputusan berkenaan tidak menimbulkan sebarang implikasi kontrak memandangkan PPj tidak terikat dengan mana-mana perjanjian, selain cadangan ART itu hanya bersifat kajian pasaran.

Bagaimanapun, katanya, PPj kekal terbuka untuk menilai keperluan perancangan pengangkutan awam di Putrajaya pada masa hadapan, tertakluk kepada kemampuan kewangan serta kelulusan peruntukan.

Ini termasuk usaha menyokong sasaran perkongsian mod pengangkutan awam 70:30, iaitu 70 peratus penggunaan pengangkutan awam dan 30 peratus kenderaan persendirian.

Menyentuh langkah mengurangkan kesesakan trafik di Putrajaya, Su Fui berkata PPj telah melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk penyediaan perkhidmatan bas Nadiputra.

"Pertama, bas Nadiputra menyediakan tujuh laluan yang beroperasi setiap hari menghubungkan kawasan perumahan, sekolah, pusat komersial, Terminal Putrajaya Sentral ke pejabat kerajaan dan sebaliknya.

"Kedua, kekerapan perjalanan pada waktu puncak, pagi dan petang bagi Laluan P101 adalah setiap 10 minit manakala enam laluan lagi setiap 20 minit.

"Selain itu, PPJ melaksanakan pengurusan trafik sedia ada melalui Putrajaya Control Centre (PCC) secara berpusat. Kita juga melaksanakan integrasi pengangkutan awam terkini seperti Demand Responsive Transit (DRT) yang dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan trafik di Putrajaya," katanya.

+ - reset