TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wan Saiful tarik balik rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Feb – Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan memaklumkan beliau telah menghantar surat kepada Pengerusi Lembaga Rayuan parti itu bagi menarik semula rayuan yang difailkan sebelum ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, antara alasan penarikan rayuan berkenaan adalah tuduhan terhadapnya berhubung usaha menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif serta Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, perkara sama didakwa sedang dilakukan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sekali gus menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak konsisten.

“Antara tuduhan terhadap saya ialah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Presiden dalam PN. Perkara yang sama dilakukan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat Wan Saiful, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan desakan peralihan kepimpinan parti.

Lembaga Disiplin dalam kenyataannya menjelaskan keputusan dibuat selepas siasatan serta sesi pendengaran pada 8 Oktober, selaras Fasal 22.5 Perlembagaan parti.

Menurut kenyataan itu, tindakan diambil atas pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Selain itu, empat lagi pemimpin akar umbi turut dikenakan pemecatan iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Lembaga Disiplin menegaskan tindakan diambil secara telus dan berlandaskan peruntukan parti, selain mengingatkan semua ahli supaya mematuhi perlembagaan serta peraturan demi menjaga reputasi Bersatu.

Sebelum ini, mereka didakwa terbabit dalam usaha mengumpul SD dalam kalangan ketua bahagian bagi mencadangkan transisi kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.

+ - reset