TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan salah faham, anjing liar dilupus ikut SOP, bukan semberono' – Aminuddin

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 8 Mei - Cadangan pelupusan anjing liar di Negeri Sembilan akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang sedia ada, tanpa sebarang tindakan sewenang-wenangnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan langkah itu bukan bertujuan menembak anjing secara melulu, sebaliknya akan dikendalikan oleh pihak berwajib berdasarkan tatacara yang ditetapkan di bawah akta berkaitan haiwan.

“Jangan salah faham, pelaksanaannya adalah teratur dan mengikut undang-undang. Setiap PBT mempunyai kaedah tersendiri dalam menguruskan populasi anjing liar yang mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, semalam.

Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan meluluskan cadangan pelupusan anjing liar di kawasan majoriti penempatan Melayu, namun ia mengundang reaksi kurang senang daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggap langkah itu tidak berperikemanusiaan.

Aminuddin menjelaskan, tindakan itu dibuat susulan peningkatan aduan berhubung anjing liar yang berkeliaran hingga menyebabkan kecederaan, termasuk kes gangguan di rumah ibadah dan kawasan perumahan.

“Hari ini pun berlaku insiden di Port Dickson, seorang remaja digigit anjing liar. Mereka yang membela anjing perlu bertanggungjawab, bukan buang haiwan itu sesuka hati,” tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih proaktif menguruskan gerai MyKioks yang masih kosong. Katanya, PBT perlu mewujudkan kawasan penjaja baharu agar kemudahan yang disediakan tidak terbiar.

Untuk rekod, sebanyak 414 MyKioks dibina di Negeri Sembilan sepanjang 2023 dan 2024, namun hanya 250 yang telah digunakan.

+ - reset