Berita Berita
Jemaah Menteri seru perkukuh perpaduan sempena Hari Kebangsaan ke-68

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Barisan Jemaah Menteri hari ini menzahirkan ucapan Selamat Hari Kebangsaan ke-68 melalui media sosial masing-masing dengan menyeru rakyat terus menghayati erti kemerdekaan dan memupuk perpaduan demi masa depan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, malah kebebasan untuk membina negara yang adil, bersatu dan penuh ihsan. Beliau menegaskan perpaduan adalah benteng utama negara dan rakyat perlu menolak prasangka serta memupuk toleransi.
Mengulas tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, Dzulkefly berkata kemerdekaan juga bermakna rakyat bebas daripada penyakit, stigma serta jurang kesihatan yang membataskan potensi diri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pula mengingatkan bahawa nikmat kemerdekaan adalah hasil pengorbanan ramai pihak, sambil menekankan kepentingan menolak usaha memecah-belahkan kaum.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa keamanan perlu dipertahankan dengan jaminan keselamatan rakyat, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menekankan keperluan membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan melalui instrumen zakat dan wakaf.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan sebagai simbol perjuangan pemimpin terdahulu yang perlu dipertahankan dengan perpaduan dan keamanan, manakala Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menekankan peranan rakyat sebagai tonggak kekuatan negara.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata petani, pesawah, penternak dan nelayan menjadi tulang belakang kemerdekaan kerana hasil usaha mereka menjadi rezeki untuk seluruh rakyat.
Turut mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyeru rakyat mengelakkan perpecahan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengajak rakyat menghayati jasa wira negara, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendoakan keamanan dan keharmonian negara berkekalan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan pula menegaskan bahawa perpaduan adalah kekuatan sebenar kemerdekaan, sekali gus mengajak rakyat menanam rasa cinta mendalam terhadap Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan bangsa. - Media Telus
Berita berkaitan
September 1, 2025, 8:40 am
Pemandu tak bersalah kini boleh tuntut insurans sendiri tanpa hilang NCD - BNM
August 31, 2025, 8:27 pm
Johor terus dilanda gempa bumi, kali ini di Semerah, Batu Pahat
August 31, 2025, 12:16 pm
Wanita naik pentas cuba dekati Sultan Perak ditahan polis
August 31, 2025, 9:03 am
Bedah siasat sahkan tiada kecederaan pada tahanan yang meninggal di lokap
August 31, 2025, 8:35 am
Agong pandu sendiri Proton Satria Neo ke sambutan Hari Kebangsaan
August 30, 2025, 5:54 pm
Bedah siasat kedua Syamsul Haris bongkar kecederaan mencurigakan, peguam desak inkues dijalankan
August 30, 2025, 12:39 pm