TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita naik pentas cuba dekati Sultan Perak ditahan polis

By
|
Kongsi
image

IPOH 31 Ogos – Seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas bertindak naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2025 di hadapan Dewan Bandaran, pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, insiden berlaku sekitar jam 8.20 pagi sewaktu lagu Kebesaran Negeri Perak sedang dimainkan.

“Suspek naik melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya dihalang dan ditahan anggota keselamatan yang bertugas. Tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya mengawal keadaan dan wanita itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil semakan mendapati wanita tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah serta pernah menerima rawatan psikiatri, namun ujian saringan air kencing didapati negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Noor Hisam turut mengingatkan orang ramai agar menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pemimpin serta mengganggu ketenteraman awam.

Insiden yang berlangsung sekitar 40 saat itu mengejutkan tetamu dan orang ramai yang hadir, malah ada yang menyangka ia sebahagian daripada gimik sambutan. Suspek yang berpakaian serba hitam dilihat cuba menarik dan memeluk Sultan Nazrin dari arah belakang sebelum berjaya dihalang. - Media Telus

+ - reset