TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nurul Izzah seru wakil rakyat PKR, golongan berkemampuan sumbang bantuan SARA RM100 kepada yang memerlukan ​​​​​​

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyeru wakil rakyat parti itu serta orang ramai yang berkemampuan supaya mengamalkan konsep pass it forward dengan memanjangkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang diterima kepada golongan lebih memerlukan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Nurul Izzah memaklumkan beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Parlimen Gombak sudah memulakan inisiatif itu pada Ahad.

"RM100 mungkin nampak kecil bagi mereka yang hidup serba cukup. Namun, jumlah ini besar ertinya bagi golongan serba kekurangan. Ia boleh jadi rezeki yang mengenyangkan perut anak-anak dan keluarga tersayang.

"Merdeka bukan sekadar satu slogan, tetapi hasil perjuangan kita bersama. Tiba masanya untuk kita memberi semula kepada rakyat yang hidup dalam kesempitan. Jangan biarkan sesiapa pun tersisih! Setiap orang berhak untuk menikmati hidangan di atas meja mereka,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-68 kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi hantaran tersebut.

Dalam perkongsian sama, gambar menunjukkan Amirudin menyerahkan barangan keperluan asas yang dibeli menggunakan bantuan SARA kepada penerima yang memerlukan.

Untuk rekod, SARA RM100 ialah bantuan tunai sekali bayar yang disalurkan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa perlu permohonan, dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini. - Media Telus

 

+ - reset