TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ombak besar di Tanjung Dawai, penduduk diminta elak berada tepi pantai - Bomba Kedah

By
|
Kongsi
image

 

SUNGAI PETANI, 14 Julai – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menggesa penduduk di kawasan pesisir pantai khususnya di sekitar Tanjung Dawai agar berwaspada susulan kejadian ombak besar yang melanda kawasan itu ketika ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, aktiviti rekreasi air termasuk mandi-manda, memancing dan bermain air laut perlu ditangguhkan buat sementara waktu demi keselamatan.

“Elakkan berada di kawasan pantai, tebing atau batu hampar ketika air pasang atau ombak kuat.

“Saya juga berharap ibu bapa dapat mengawasi anak-anak mereka dan tidak membenarkan mereka bermain di kawasan berhampiran pantai,” katanya kepada Bernama, malam tadi.

Tambah beliau, peniaga serta komuniti berhampiran pantai juga perlu lebih peka dengan perubahan cuaca dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan limpahan air laut.

“Patuhi arahan dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Jika berlaku kecemasan, segera hubungi talian 999 atau laporkan ke balai bomba berhampiran,” ujarnya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan fenomena ombak besar melanda Kampung Huma di Tanjung Dawai. Kejadian itu menimbulkan kebimbangan ramai memandangkan ombak besar dilihat menghampiri kawasan kediaman penduduk.

JBPM dan agensi keselamatan lain dilaporkan terus memantau situasi semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin. 

+ - reset