TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buka dua kertas siasatan insiden bas ekspres, lori ayam bertengkar di Gerik

By
|
Kongsi
image

GERIK 2 April – Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung satu insiden pertengkaran fizikal yang tercetus susulan kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah lori ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman mengesahkan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, seorang pemandu kedua bas berusia 32 tahun telah mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan akibat ditumbuk oleh seorang pemandu lori lain.

Siasatan awal mendapati kemalangan bermula di satu kawasan selekoh apabila bas yang dalam perjalanan dari Lumut ke Terengganu itu bergesel dengan sebuah lori dari arah bertentangan sehingga menyebabkan kerosakan pada cermin sisi dan tingkap kedua-dua kenderaan.

Pemandu bas berusia 22 tahun itu dilaporkan terus memandu selepas perlanggaran tersebut kerana keadaan lokasi kejadian yang sempit dan tidak sesuai untuk memberhentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan.

Tindakan itu menyebabkan seorang lagi pemandu lori berusia 49 tahun yang menyaksikan kejadian bertindak menghubungi rakan-rakan pemandu lori yang lain untuk mengejar serta menahan bas berkenaan kira-kira enam kilometer dari lokasi asal.

Pertengkaran mulut tercetus sebaik sahaja bas berjaya dihentikan di kawasan berhampiran Hentian Titiwangsa yang kemudiannya melarat sehingga berlakunya insiden serangan fizikal terhadap pemandu kedua bas tersebut.

Pihak polis kini menyiasat kes kemalangan tersebut di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, manakala insiden mendatangkan kecederaan pula disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih berhubung video kejadian yang tular di media sosial bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat serta tidak mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.

+ - reset