TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar Tingkatan 5 parah dirempuh pacuan empat roda ketika melintas jalan

By
|
Kongsi
image

PAPAR 2 April – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang melintas jalan di Kilometer 19 Jalan Baru Papar - Kota Kinabalu, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir mengesahkan mangsa yang berusia 17 tahun itu mengalami patah kaki kiri serta kecederaan serius di bahagian kepala dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 2 petang tersebut.

Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu sebelum kejadian berlaku.

Mangsa dipercayai telah melintas jalan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pemandu kenderaan tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar remaja berkenaan di lokasi kejadian.

Insiden kemalangan yang melibatkan pejalan kaki itu turut tular di media sosial sejak petang tadi sebelum pihak polis mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kronologi kejadian.

Pelajar berkenaan telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu kenderaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kenderaan yang terlibat kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan bagi melengkapkan laporan kes berkenaan.

+ - reset