Berita Berita
Penunggang motosikal putus kaki dirempuh pemandu langgar lampu merah di Jalan Sultan Ismail
KUALA LUMPUR 2 April – Dua penunggang motosikal dilaporkan cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam satu kejadian di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Dalam insiden kira-kira jam 4.27 pagi itu, seorang mangsa lelaki berusia 24 tahun mengalami kecederaan ngeri sehingga putus kaki kiri, manakala seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun mengalami patah tangan serta kaki kiri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa mengesahkan bahawa pemandu kereta jenis Honda City yang terlibat telah berjaya dikesan dan ditahan ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kundang, Rawang.
Siasatan awal mendapati kedua-dua penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR tersebut sedang melintasi persimpangan lampu isyarat hijau sebelum kenderaan suspek yang datang dari arah kanan merempuh mereka secara tiba-tiba.
Pemandu lelaki berusia 25 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, manakala seorang penumpang kenderaan tersebut turut mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat impak pertembungan berkenaan.
Hasil ujian alkohol yang dijalankan terhadap pemandu mendapati keputusannya tidak melebihi had yang ditetapkan, namun pihak polis kini sedang menjalankan ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan lanjut.
Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan kecemasan, manakala seorang saksi kejadian berusia 19 tahun telah tampil memberi keterangan bagi membantu proses siasatan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee atau mana-mana balai polis berhampiran.
Berita berkaitan
April 2, 2026, 5:15 pm
Polis buka dua kertas siasatan insiden bas ekspres, lori ayam bertengkar di Gerik
April 2, 2026, 4:55 pm
Rafizi mengaku 'gagal' berdiam diri, enggan membodek walau ditekan pelbagai pihak
April 2, 2026, 4:35 pm
Pendidikan undang-undang perlu diperkasa untuk lahirkan peguam masa depan — Prof Sivakumar
April 2, 2026, 4:32 pm
