TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu tak bersalah kini boleh tuntut insurans sendiri tanpa hilang NCD - BNM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Sept -  Proses tuntutan insurans kenderaan kini lebih mudah apabila pemandu yang tidak bersalah dalam kemalangan boleh membuat tuntutan terus kepada syarikat insurans mereka sendiri tanpa menjejaskan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD).

Timbalan Pengarah Jabatan Tingkah Laku Pengguna dan Pasaran Bank Negara Malaysia (BNM), Lailatul Akma Mohd Shukor berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada polisi insurans kenderaan bermotor yang telah disemak semula.

Melalui pilihan Own Damage Knock-for-Knock (OD-KFK), pemegang polisi insurans komprehensif dibenarkan membaiki kenderaan mereka melalui syarikat insurans sendiri tanpa perlu menunggu syarikat insurans pihak bersalah.

“Langkah ini mempercepatkan proses, mengelakkan kos pendahuluan dan mengekalkan NCD pemandu.

“Untuk menggunakan OD-KFK, pemegang polisi hanya perlu mengemukakan laporan polis serta dokumen berkaitan, kemudian syarikat insurans akan menguruskan tuntutan,” katanya menerusi satu program audio siar seperti dilaporkan The Star.

Bagaimanapun, jelas beliau, OD-KFK tidak boleh digunakan jika kemalangan melibatkan bas atau teksi serta jika terdapat kecederaan, di mana tuntutan masih perlu dibuat kepada syarikat insurans pihak bersalah.

Menurut Lailatul, antara penambahbaikan utama ialah pemendekan tempoh proses tuntutan dengan menetapkan jangka masa yang lebih jelas untuk syarikat insurans.

“Pengguna kini akan menikmati hasil yang lebih adil, telus dan cepat.

“Di bawah polisi baharu ini, tempoh pemprosesan purata bagi tuntutan kerosakan kenderaan sendiri dipendekkan sehingga 20 hari bekerja, manakala tuntutan kerosakan harta pihak ketiga boleh diselesaikan sehingga 80 hari bekerja lebih awal.

“Kami mahu proses ini lebih mudah dan mesra pengguna selepas bertahun-tahun orang ramai mengadu mengenai kerenah birokrasi dan tempoh menunggu yang panjang,” katanya.

Selain itu, BNM turut memperkenalkan Bantuan Tepi Jalan Digital (Digital Roadside Assistance) yang membolehkan pemegang polisi mendapatkan trak tunda berdaftar, mencari bengkel berdekatan serta menghantar dokumen melalui aplikasi mudah alih atau laman web syarikat insurans.

“Tidak perlu lagi keliru siapa perlu dihubungi atau berisiko berurusan dengan trak tunda tidak sah. Segala urusan daripada permintaan bantuan hingga penghantaran dokumen boleh dilakukan melalui aplikasi 24 jam sehari, walaupun kereta rosak atau tayar pancit,” katanya.

Beliau menambah, jika terdapat kes yang gagal diselesaikan, pemegang polisi boleh membawa perkara itu ke Perkhidmatan Ombudsman Kewangan (FOS), iaitu badan bebas yang menawarkan penyelesaian pertikaian secara percuma.

“Reformasi ini bertujuan menjadikan proses tuntutan insurans kenderaan lebih adil, pantas dan telus, sekali gus mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap sistem ini,” katanya.

+ - reset